Friday, January 30, 2015

Dasar GST ke atas buku mengelirukan, kata penerbit buku

Putrajaya digesa mengecualikan semua jenis buku dari dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan bukannya hanya membuat pengecualian yang terhad ke atas beberapa  jenis buku sahaja, kata penerbit buku tempatan yang merungut tiada maklumat jelas mengenai pelaksanaan cukai itu terhadap perniagaan mereka. 

Tindakan kerajaan mengehadkannya kepada buku tertentu mengelirukan mereka memandangkan bahan yang digunakan bagi mencetak buku tidak berkadar sifar dan terdapat banyak jenis percetakan di pasaran.
Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) berkata mereka kini berada dalam keadaan "kabur" mengenai kaedah pelaksanaan sistem pencukaian GST pada 6% itu ke atas buku apabila ia dilaksanakan mulai 1 April kelak.
"Kami penerbit buku kini berada dalam keadaan sukar, semuanya kabur meskipun ada penerangan dibuat pihak kastam, namun ia tidak banyak membantu," kata Setiausaha Mabopa Arief Hakim Sani Rahmat kepada The Malaysian Insider.
Arief yang juga pengarah urusan PTS Publication & Distributors Sdn Bhd berkata, meskipun GST akan dilaksanakan dalam masa kurang 3 bulan lagi, namun sehingga kini kaedah sesuai dalam pencukaian GST buku masih lagi menjadi perdebatan.
"Status bercampur ini amat sukar kerana ia sangat kompleks dan memerlukan kaedah yang kemas untuk dilaksanakan," katanya yang mengakui situasi tersebut cukup meresahkan penerbit buku.
Meskipun bahan bacaan dikategorikan sebagai berkadar sifar GST, ia hanya terhad kepada beberapa jenis buku sahaja.
Dalam senarai Jabatan Kastam, pewartaan barangan sifar GST tertakluk antara lain kepada buku mewarna kanak-kanak, buku latihan, buku teks, kamus, kitab agama dan surat khabar.
Malah, dakwat dan kertas, bahan asas yang digunakan dalam percetakan buku, merupakan antara barangan yang tersenarai dalam pelaksanaan cukai GST.
Ditanya sama ada rakyat bakal menyaksikan kemungkinan berlakunya kenaikan harga buku susulan pelaksanaan GST, Arief tidak menolak perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, rakyat tidak perlu menunggu pelaksanaan GST bagi menyaksikan kenaikan harga buku.
"Sekarang ini yang membimbangkan GST namun kejatuhan mata wang Malaysia juga menjejaskan industri buku.
"Bila nilai matawang ringgit jatuh, kita menyaksikan harga kertas semakin tinggi. Sekarang pun kertas sudah naik harga, kerana ia barangan komoditi," katanya.
Arief menggesa Putrajaya mempertimbangkan gesaan mereka kerana katanya, ia merupakan tanggungjawab sosial kerajaan dalam bidang pendidikan.
"Kita tidak menentang GST, namun lebih wajar semua jenis buku dijadikan sifar GST," katanya.

Penggiat buku alternatif paling terjejas

Tidak dapat dinafikan, penggiat buku alternatif antara yang paling terjejas dengan pelaksanaan GST kelak.
Pencetak buku bebas ini menjual dan menerbit buku dengan jumlah pendapatan tidak lebih RM50,000 setahun, mengikut syarat yang ditetapkan untuk berdaftar dengan pihak kastam.
Pemilik syarikat Neon Terbit, Firdaus Abdillah Hamzah berkata, status penerbit buku kecil adalah sama dengan pengguna atau pembeli buku.
"Kalau mereka rasa terjejas, penerbit buku kecil juga terjejas," katanya yang mengakui masih belum membuat sebarang persediaan pelaksanaan GST.
Katanya beliau tidak menentang pelaksanaan GST tetapi mempersoalkan mengapa buku perlu tersenarai dalam cukai tersebut.
Malah, Firdaus mendakwa pihak berkuasa gagal memberi penerangan secukupnya mengenai cukai tersebut kepada golongan sasaran.
"Kalau kita tengok iklan dalam televisyen pun, masih belum memadai dalam memberi pemahaman tentang cukai," katanya.
Memahami beban yang dihadapi pengguna, sebuah lagi syarikat penerbit buku bebas iaitu Dubook Press, tampil dengan pendekatan berani tidak mahu mengenakan cukai GST bagi setiap pembelian bukunya.
"Kita memutuskan menjadi ibarat lilin yang membakar diri kerana tidak mahu membebankan pengguna," kata Ketua Pengarah Eksekutif Dubook Press, Mutalib Uthman.
Mutalib berkata pihaknya kini mencari pendekatan paling efektif untuk tidak mengenakan cukai kepada pengguna dan pada masa sama tidak mewujudkan jurang kerugian besar yang perlu ditanggung syarikat.
Antara pendekatan yang boleh diambil katanya ialah dengan meningkatkan penjualan buku dan pembelian secara terus dari pengguna kepada syarikatnya.
"Kebiasaannya sebelum ini, penerbit buku banyak terbeban akibat daripada orang tengah yang mengambil peratus penjualan lebih separuh daripada keuntungan kita.
"Kerana itu kita yakin kalau tiada orang tengah dan pembaca membeli secara terus daripada kita, maka kita boleh menyerap kos tersebut untuk tidak mengenakan GST," katanya sambil berkata ketika ini, harga maksimum sebuah buku yang dijual ialah RM25.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut mengecam tindakan Putrajaya mengenakan sifar GST terhad kepada buku tertentu.
Katanya, kajian yang dijalankan Persatuan Penerbit Antarabangsa, yang melihat kepada nilai tambah GST, mendapati daripada 51 negara yang dikaji, 47 mempunyai potongan khas dan pengecualian untuk buku bercetak.
Laporan itu menyatakan walaupun krisis ekonomi global berlaku dan VAT-SGT (nilai tambah)   berubah di banyak negara, buku disahkan menjadi antara barang dan perkhidmatan yang dimeritkan sebagai istimewa, dikurangkan kadar VAT-GST atau dikecualikan cukai. – 30 Januari, 2015.

No comments: