Friday, January 30, 2015

Mahkamah tolak saman Putrajaya atas himpunan Bersih 2012

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman ganti rugi kerajaan persekutuan terhadap kumpulan reformasi pilihan raya Bersih bagi kerosakan harta benda semasa perhimpunan pada April 2012 di Kuala Lumpur, mengatakan Putrajaya tidak dapat membuktikan “balance of probability” (kebarangkalian yang munasabah).

Hakim John Louis O' Hara mengumumkan keputusan itu dalam satu penghakiman lisan hari ini.
Pada Mei 2012, Putrajaya mengambil langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini dengan menyaman pengerusi bersama Bersih ketika itu, Datuk Ambiga Sreenivasan, dan ahli jawatankuasa pemandu kumpulan itu, sebagai penganjur perhimpunan, menuntut ganti rugi sebanyak RM122,000.
Kerajaan memfailkan saman terhadap Ambiga di bawah Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 yang menyatakan penganjur perlu "memastikan perhimpunan itu tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta atau alam sekitar".
Tetapi pada Jun 2012, Ambiga memfailkan saman balas terhadap Putrajaya, mendakwa kerajaan melanggar hak perlembagaan beliau.
Antara lain, bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, PAA bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Seksyen 6 yang katanya membataskan haknya terhadap kebebasan berhimpun. – 30 Januari, 2015.

No comments: