Tuesday, March 10, 2015

YB RADZI ZAINON MENGELUARKAN KENYATAAN MEDIA MENGENAI 1MDB

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semua sedia maklum mengenai kes 1MDB yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit seperti yang hangat diperkatakan oleh rakyat termasuklah pimpinan UMNO sendiri. Saya menggesa agar Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempercepatkan penyiasatan segera akaun 1MDB yang bermasalah ini kerana ianya melibatkan wang rakyat sehingga RM 42 bilion dan lebih penting 1MDB juga berkait rapat dengan Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri. 


Bagaimana salah seorang Ahli Majlis Tetinggi UMNO menyatakan 1MDB tidak ada penyelewengan atau pun penipuan sedangkan akaun 1MDB masih tidak siasat oleh Ketua Audit Negara dan PAC ? (Merujuk kepada kenyataan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menyatakan 1MDB tiada unsur penipuan atau penyelewengan yang disiarkan oleh Sinar Harian 9 Mac 2015. 

Saya juga amat berharap tidak akan berlaku penyelewengan terhadap penyiasatan oleh Ketua Audit Negara dan PAC agar ianya telus dan bebas supaya dapat didedahkan kepada rakyat ke mana duit rakyat tersebut dilaburkan sehinggakan dikatakan mengalami kerugian. Saya juga berharap Polis Diraja Malaysia menyiasat hartawan Low Taek Jho yang melibatkan pinjaman jutaan ringgit kepada Petrosaudi. Sarawak Report semalam mendedahkan komunikasi e-mel didakwa menunjukkan Low memberitahu Petrosaudi bahawa pinjaman itu tidak harus diisytiharkan kepada Bank Negara kerana boleh menyebabkan “kelewatan yang tidak perlu”. Ini menunjukkan telah berlakunya penyelewengan wang rakyat dan pecah amanah. Ianya boleh didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram. Mengapa Ketua Polis Negara berdiam diri dalam isu ini ? Adakah Najib Razak juga mempunyai “ bahagian ” dalam transaksi ini ? Ini merupakan persoalan yang perlu dijelaskan kepada rakyat.

Low Taek Jho berfoya-foya guna duit rakyat Malaysia
Apa hubungan Najib dengan Low Taek Jho

Ini semua wang dan hak rakyat yang dibazirkan kerana bukan digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat yang semakin dihimpit dengan masalah ekonomi. Antara penyelewengan hak rakyat yang telah didedahkan adalah seperti isu PKFZ (RM 4.6 bilion) dan NFC (RM 250 juta). Sekiranya penyiasatan tersebut membuktikan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah sehingga wang rakyat dibazirkan tanpa tujuan, saya mengecam sekeras-kerasnya di atas konspirasi pecah amanah ini. Sekali lagi saya menggesa Ketua Audit Negara dan PAC menjalankan siasatan dengan segera, telus dan bebas demi kepentingan rakyat.

Sekian, terima kasih.


YANG BERHORMAT RADZI BIN ZAINON
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK ( SUNGAI RAPAT )


09 MAC 2015

No comments: