Monday, December 22, 2014

Ucapan penuh YB Radzi bin Zainon pada Persidangan Keempat Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri ke 13

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera....Bismillahirahmanirrahim...

Terima kasih Dato' Seri Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Pangkor, rakan - rakan ahli - ahli Yang Berhormat, Pengarah dan wakil - wakil agensi dan jabatan kerajaan negeri serta persekutuan, hadirin dan hadirat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Dato' Seri Yang Dipertua, Sungai Rapat mengucapkan terima kasih kerana turut diberikan peluang membahas Enakmen Perbekalan atau pun bajet bagi negeri Perak tahun 2015 yang telah dibentangkan pada 8 Disember 2014 oleh YAB Pangkor. Di peringkat permulaan, walaupun fokusnya di fokus yang keempat saya ingin menjurus kepada peranan penjawat awam yang merupakan nadi dan tulang belakang kepada kejayaan sesebuah negeri dan negara. Dan golongan inilah yang diberikan penugasan dan tanggungjawab yang paling detail, paling panjang urusannya untuk menguruskan hal ehwal masyarakat negeri dan negara kita. Sebab itu di sisi pandangan Islam kerja - kerja atau pun amalan - amalan yang sebegini yang boleh membantu diri sendiri dan membantu orang lain adalah dianggap sebagai ibadah di sisi Allah SWT. Mana mungkin kita boleh mengutip pahala yang begitu besar daripada amalan - amalan khusus semata - mata ? Daripada sembahyang yang kita lakukan, daripada puasa yang kita tunaikan, daripada ibadat haji dan sebagainya. Sedangkan banyak masa yang ada kita gunakan sehari-hari adalah untuk menguruskan kerja-kerja kita dalam bentuk kerjaya yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua. Sebab itu saya sendiri tiap-tiap pagi niat saya adalah untuk buat kebaikan kepada sesiapa sahaja. Sebab saya menganggap kerja adalah sebagai satu ibadah. kerana disebutkan oleh Nabi S.A.W. " orang yang terbaik adalah orang yang dapat memberikan manfaat kepada diri dan mereka juga dapat memberikan manfaat kepada orang lain "

Dan Allah SWT menyebut pula dalam firman-Nya yang bermaksud " Allah amat menyintai seseorang di antara kamu yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan dilakukan dengan cara yang paling sempurna." Dan ini merupakan suatu dasar suatu asas yang perlu sama-sama kita gembelingkan dan perkukuhkan dalam sanubari kita, dalam hati kita agar semua amalan kita, tindakan kita, kerja kita termasuklah niat, berfikir, bertafakur, merancang sesuatu dengan niat kebaikan untuk menyelamatkan dunia kita, keluarga kita, negeri dan negara kita. Mudah-mudahan ianya akan diterima oleh Allah SWT sebagai satu amalan yang kudus yang ikhlas yang akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Dengan itu, inshaAllah kita akan mendapat suatu kuniaan Allah SWT yang mungkin tidak akan diperolehi oleh mereka yang lari daripada landasan ini iaitu, inshaAllah, Allah SWT akan memberikan ketenangan kepada kita, kebahagiaan, kejayaan, kesihatan, kekayaan dan inshaAllah keberkatan dalam kehidupan kita. Makna keberkatan yang diungkapkan oleh YAB Pangkor maknanya adalah sikit pun cukup, banyak boleh dikongsi bersama-sama. Itulah makna keberkatan dalam sudut kehidupan kita.

Dan satu perkara lagi yang perlu bagi kita semua adalah dipimpin oleh Yang Maha Esa. Dan ini merupakan suatu motivasi dalaman atau pun dianggap sebagao kesedaran ketuhanan yang mampu memimpin kita walau di mana sahaja tanpa ada Menteri Besar, tanpa ada Exco, tanpa ada ketua-ketua jabatan. kesedaran ketuhanan bahawa kita bekerja dan bertindak adanya Tuhan yang sedang menilai kita. Paling tidak, wakil Tuhan, Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat akan perkara baik dan perkara buruk dikalangan kita yang kita lakukan di atas muka bumi ini. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, saya akan pergi seterusnya kepada isu yang telah dibentangkan oleh Ketuaa Audit Negara bagi tahun 2013 siri ke-3 berkaitan dengan Jabatan Agama Islam. Dato' Seri Yang Dipertua, dalam isu ini yang telah diaudit berkaitan dengan pengurusan pengeluaran Sijil Halal Malaysia. Maka antara lain yang telah diaudit oleh pihak Audit bermula pada bulan Februari hingga Mei 2014 yang mendapati pengurusan pengeluaran Sijil Halal oleh Unit Pengurusan Halal JAIPk adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti berikut :

i) Pemohon tidak mematuhi syarat untuk kelulusan pensijilan halal
ii) Kelewatan mengeluarkan Sijil Halal di peringkat JAKIM
iii) Pelanggaran syarat Sijil Halal yang telah diluluskan
iv) Risalah berhubung dengan kepentingan Pensijilan Halal tidak diedarkan

Saya ingin menarik perhatian kepada Sidang Dewan yang dihormati sekalian. Dengan sedikit sebanyak pengalaman bersama - sama dengan JAIPk semasa dipimpin oleh tokoh Mal Hijrah yang dikurniakan pada tahun ini, Ustaz Mohd Yunus Alias. Semasa itu saya rasa adalah saat yang cukup gemilang kerana bahagian ini benar-benar dipimpin dan dipandu dengan tugas-tugas yang sebenarnya. Saya sendiri sanggup menjadi sukarelawan kepada JAIPk. Saya meronda bersama-sama mereka menyampaikan maklumat daripada satu masjid ke satu masjid. Di Masjid Dato' Kamaruddin, Manjung, di Masjid Daerah Taiping bersama dengan ketua-ketua jabatan di Taiping sampai di peringkat Lenggong, Tanjung Malim, Bagan Serai, Parit Buntar dbahkan saya sendiri Alhamdulillah telah dapat meninjau akan isu-isu ini sehingga keseluruhan negara Malaysia tidak termasuk Sabah sahaja untuk membentangkan hasilan-hasilan daripada apa yang diperolehi daripada kajian-kajian yang telah dilakukan. Saya menganggap perkara ini adalah perkara yang cukup mencabar. Apabila isu halal ini tidak diberikan perhatian yang serius lebih-lebih lagi apabila Malaysia ingin memantapkan hab halal dan ini merupakan satu kesungguhan yang diberikan oleh kepimpinan negara kita. Dulunya telah ada Halal Development Centre (HDC) bahkan JAKIM memainkan peranan yang cukup besar memberikan geran antaranya kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk memastikan perjalanan ini betul-betul berjalan dengan baik sebagai badan pemantau, untuk melihat akan isu-isu ini. Tiba-tiba apabila Ketua Audit Negara telah menyentuh dan mengklasifikasikan sebagai kurang memuaskan maka ini suatu cabaran kepada JAIPk untuk melihat sedalam-dalamnya apakah masalah sebenar yang telah berlaku di jabatan.

Dan disini saya ingin mencadangkan agar sama-sama diadakan penambahbaikan. Antara cadangan yang boleh saya berikan kepada JAIPk ialah yang pertama sekali mewujudkan makmal penyelidikan di bawah kelolaan Bahagian Penyelidikan JAIPk dan saya mencadangkan agar INTIM yang hari ini hanya mengurus tadbir membuat latihan disebut sebagai Institut Tadbiran Islam Perak diangkat ke tahap yang lebih tinggi sebagai Institut Tadbiran & Penyelidikan Islam Perak dan ianya boleh bekerjasama dengan IDR, YAPIEM dan mana-mana IPT atau IPTS yang sealiran dalam bidang penyelidikan. Mutakhir ini setelah ketiadaan pengetua di sana sejak tahun 2012, INTIM semakin lesu daripada meneruskan peranannya dan ini harus diambil perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri Perak dan apabila bahagian penyelidikan JAIPk ini dibangunkan dengan semangat dan dengan roh yang ada, dengan kesungguhan yang ada, maka ianya harus disempurnakan dengan alatan-alatan yang cukup untuk membuat research dengan izin. Dengan para pegawai penyelidik, maknanya kalau di bahagian penyelidikan tidak ada ahli kimia, tak ada penyelidik....bagaimana penyelidikan boleh dilakukan. Sebab itu satu masa dahulu, mereka menjemput saya kerana saya tahu terminologi-terminologi dalam kimia dan sebagainya untuk membantu mereka, untuk menyebut di khalayak, memahamkan khalayak apa yang disebut sebagai porcine, borvine dan sebagainya dan apa yang disebut sebagai additive. Proses-proses yang berkaitan dengan pemprosesan makanan dan ini memerlukan seorang ahli kimia, saintis, penyelidik yang ada latar belakang yang berkemampuan melaksanakan tugas-tugas ini dan di mana mereka boleh dicari ? Antaranya yang saya hendak sebut kepada dewan yang mulia ini, sebenarnya di Malaysia kita telah ada satu institusi penyelidikan produk halal di Universiti Putra Malaysia di bawah kelolaan Almarhum Prof. Dr. Yaakob Che Man yang telah meninggal pada umut 57 tahun dan beliau begitu komited, begitu beriltizam untuk membantu negara kita. Bahkan beliau di antara 10 saintis yang diiktiraf di peringkat dunia dalam bidang ini dan inilah antara tempat-tempat yang boleh kita adakan kerjasama yang cukup baik dengan mereka disamping baru-baru ini saya ada melihat dan berbincang dengan Timbalan Pengetua Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong yang bakal beroperasi pada tahun hadapan di mana insha Allah katanya antara subjek ataupun diploma yang bakal ditawarkan di sana nanti adalah Diploma Teknologi Makanan dan ini adalah satu peluang kepada penyelidik-penyelidik yang mungkin akan merealisasikan kepada JAIPk untuk dibangunkan pada masa akan datang. Antara lain juga disentuh oleh audit ini berkaitan dengan program hebahan dan penerangan yang amat kurang dan ini menampakkan bahawa kesungguhan sebab dari tahun 2006 hingga 2008 saya boleh sebutkan bahagian atau Unit Halal JAIPk ini di Bahagian Penyelidikan ini menganjurkan pelbagai seminar yang cukup memberi manfaat kepada rakyat, kepada warga negeri Perak khususnya kepada umat Islam. Antaranya tahun 2007 di Stadium Indera Mulia, saya bersama Dato' Dr Maamor Osman telah menyampaikan satu kertas kerja dan dijemput sendiri oleh mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli. Dan pada tahun 2008, Seminar Halal Fest Negeri Perak yang dilangsungkan di INTIM juga dilakukan pada skala yang besar dan kemudiannya banyak hebahan-hebahan yang dilakukan di peringkat masjid dan saya mencadangkan agar perkara ini dilanjutkan dan usaha ini diteruskan di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan disarankan agar mereka melakukan khutbah secar bersiri, berterusan beberapa siri unruk memberikan kesedaran kepada jemaah kepada umat Islam khususnya yang terdedah kepada isu-isu yang berkaitan dan kemudian dicadangkan juga agar Sudut Halal diadakan pada setiap masjid yang ada di dalam negeri Perak ini.

Dan yang ketiga, saya mencadangkan agar distrukturkan semula pegawai dan kakitangan di bahagian penyelidikan ini terutama menaiktaraf Unit Pengurusan Halal di JAIPk ini.

Dato' Seri Yang Dipertua, saya juga ingin memfokuskan kepada fokus kedua yang telah disentuh oleh YAB Pangkor di samping program-program yang diteruskan oleh kerajaan negeri seperti disebut pada perkara 80 mukasurat 24. Saya turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempermudahkan urusam pemberian lot-lot tanah ataupun unit-unit rumah yang dijanjikan sebelum ini kepada bekas-bekas anggota tentera. Kalau tak silap saya, terdapat 7000 lot ataupun unit - unit rumah terutama pembelaan khas terhadap bekas-bekas tentera yang tidak berpencen. Difahamkan golongan ini melebihi 5000 orang di dalam negeri Perak. Sewajarnya persatuan bekas tentera membuat kajian yang lanjut tentang isu-isu kebajikan mereka dan mengemukakan kepada pihak kerajaan kerana memandangkan jasa mereka terlalu banyak kepada negara. Mereka menjaga keselamatan negara kita. Mereka bertanggungjawab menghalau dan menghentikan kegiatan komunis. Mereka habiskan masa muda mereka yang berkualiti untuk tujuan-tujuan ini. Berbulan-bulan mereka di hutan, bahkan ada yang kadang-kadang bertahun-tahun mereka di dalam hutan. Ada yang putus kaki, kehilangan anggota dan mereka berkorban apa sahaja dan ada juga yang terkorban kerana untuk mempertahankan negara.

Dato' Seri Yang Dipertua, masa mungkin tak banyak lagi, akhir sekali saya ingin membawa juga isu-isu setempat yang berkaitan dengan DUN saya. Antaranya, saya mohon perhatian kerajaan negeri khususnya pihak MBI tentang keluhan penduduk Kampung Pengkalan Pegoh yang berkaitan dengan cukai pintu yang dikenakan tanpa kemudahan - kemudahan asas ataupun perkhidmatan yang sewajarnya dari MBI. Minta dikaji dan diselidik.

Yang keduanya, menggesa dan mengusulkan kepada kerajaan persekutuan agar menyegerakan peruntukan RM 65 juta untuk menaiktaraf jalan Simpang Pulai-Lahat yang telah dijanjikan dalam RMK-10 yang mungkin tidak sempat untuk dilaksanakan kerana tinggal setahun sahaja lagi kalau ianya tidak sempat dilaksanakan dalam RMK-10 minta diberikan keutamaan dalam RMK-11.

Yang ketiga, menyegerakan pembaikan sebahagian jalan yang runtuh akibat banjir kebelakangan ini iaitu jalan antara Kampung Meranti Lapan @ Seri Rahmat ke Batu Gajah.

Yang keempat, memohon kerajaan negeri melalui JKJR iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya menhkaji semula kedudukan dan struktur jalan dan pembahagi jalan berhadapan jalan masuk Taman Pengkalan Sentosa, Lahat yang berisiko dan telah mengundang banyak kemalangan dan yang kedua, pembinaan simpang tiga berlampu isyarat di hadapan Kampung Tersusun Sri Rahmat yang dianggap tidak tepat dan membelakangi kepentingan dan kebajikan penghuni asal kampung tersusun tersebut. Saya mencadangkan pembinaan yang paling tepat ialah simpang keluar masuk tanpa menyalahi undang - undang. Dato' Seri Yang Dipertua, saya kira semua perkara ini boleh memberi kebaikan dan kepentingan kepada rakyat dan negeri Perak. Jadi saya minta perhatian agar semua daripada kita terus dengan niat untuk memajukan negeri ini demi memastikan kelangsungan pentadbiran dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya. Sekian daripada saya. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

No comments: