Wednesday, September 10, 2008

Banjir di Bukit Merah: 140 keluarga dapat bantuan segera

BAGAN SERAI, 10 Sept (Hrkh) - Banjir yang melanda di sekitar Bukit Merah kelmarin telah mengakibatkan 140 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir.

Daripada jumlah itu, 33 keluarga telah dipindahkan dan ditempatkan di bilik-bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah, sementara 5 lagi keluarga di tempatkan di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah datang melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di Sekolah Rendah Bukit Merah dan menyampaikan bantuan segera berupa wang belanja berjumlah RM200 kepada setiap keluarga yang ditimpa bencana tersebut.

Setibanya di tempat tersebut, Nizar telah diberikan taklimat ringkas oleh Pegawai Daerah Kerian Ismail Hassan tentang perkembangan terkini.

Penolong Jurutera Daerah JPS, Noorhisham menerangkan banjir tersebut berlaku akibat pelepasan air empangan yang telah sampai ke paras yang merbahaya.

"Kami terpaksa melepaskan air kerana khuatir akan berlaku bencana yang lebih dahsyat kerana empangan sudah tidak mampu menampung paras air yang semakin meningkat akibat hujan lebat yang mencurah-curah kelmarin," jelasnya.

Mengikut Noorhisham lagi, mangsa-mangsa banjir mungkin boleh balik ke rumah masing-masing dalam tempoh terdekat jika hujan tidak turun lagi dan paras air dijangka semakin surut dan tidak mengancam.

Nizar mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Bencana Daerah yang terdiri darpada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis, Hospital dan lain-lain yang telah melaksanakan kerja kerja bantuan dengan baik kepada mangsa-mangsa terlibat.

Beliau berharap mangsa yang terlibat supaya bersabar menghadapi musibah seperti ini dan berjanji untuk menghulurkan bantuan seterusnya.

Turut hadir di pusat penempatan banjir tersebut ialah Adun Semanggul, Haji Ramli Tusin dan Adun Selising, Husin Din. - mns_

No comments: