Saturday, August 16, 2008

Hadi sekali lagi tegaskan kepentingan sumbangan Pas


IPOH, 15 Ogos: Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan pentingnya sumbangan ahli-ahli dan jentera PAS kepada dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam ucaptama merasmikan muktamar PAS ke-54 di sini, Hadi menegaskan PAS memberi sumbangan berharga kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam keadaan “amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan.”

“Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu,” kata Hadi dalam ucapan dasarnya bertema PAS untuk Semua.

“Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Hadi sebelum ini dalam wawancara dengan Harakah melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang dilihat sebagai perkongsian yang tidak seimbang dalam Pakatan hingga meminggirkan PAS.

Ucapan yang dibuat sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh itu menunjukkan sikap PAS yang semakin asertif dalam perkongsian kuasa dengan Pakatan Rakyat terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik, DAP.

No comments: