Wednesday, November 19, 2008

Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng


Gopeng (13/11/2008): Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng berlangsung dengan jayanya dan kehadiran begitu ramai pada malam itu menambahkan lagi kemeriahan majlis.

Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) Kawasan Gopeng yang terdiri daripada Pasti Sinaran Wahyu Gopeng, Pasti Pintar Tmn Bersatu Simpang Pulai, Pasti Ehsan Rapat Setia dan Pasti Ammar Changkat Larang. Seramai 78 pelajar dari 4 buah PASTI ini telah menerima sijil dan cenderahati sempena konvokesyen kali ini. Di mana 37 pelajar berumur 6 tahun akan memasuki Darjah Satu untuk sesi pengajian 2009 manakala bakinya yang berumur 4 dan 5 tahun akan meneruskan pendidikan mereka di PASTI untuk setahun dua lagi.

Setiap PASTI telah memilih 3 orang pelajar Cemerlang Akademik untuk pelajar berumur 6 tahun dan 3 orang untuk pelajar berumur 4 & 5, 2 orang kehadiran terbaik dan 2 orang pelajar Mithali. Pelajar terbaik keseluruhan 2008 telah dianugerahkan kepada Adik Safiyyah Munirah bt. Mohd Tahir dari PASTI Al-Ehsan, Rapat Setia.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran MB Nizar dan isteri serta keluarga dan juga ketua-ketua kampung Dun Sg Rapat.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Kamallullail dan diikuti bacaan Al-Quran oleh bekas pelajar Pasti yang kini berusia 9 tahun. Ucapan Pengerusi Pasti Kawasan Gopeng, Raja Mohd Yusof b Raja Hamid dan juga ucapan YDP Pas Kawasan Gopeng, Tn Hj Abd Rahim B Md Arif menyentuh tentang kesederhanaan perjalanan Pasti menempuh usia sehinggalah sekarang.

Ucapan utama dan perasmian majlis dilaksanakan oleh MB Hj Nizar sendiri yang antara isi ucapannya ialah beliau mengharapkan guru-guru PASTI terus mendidik anak-anak dengan akhlak mulia dan melahirkan insan yang cemerlang. Anak-anak didikan PASTI kebiasaannya tidak banyak membawa masalah kepada guru-guru ketika mereka mula memasuki alam persekolahan rendah kerana mereka telah dididik dengan kurikulum yang hebat dan akhlak yang terpuji. Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri akan terus menyokong sekolah dan pusat akademik berteraskan Islam dan memberi galakan berupa bonus dan kenaikkan gaji kepada guru-guru.

Majlis Pasti kali ini dianggap satu kejayaan jika dibandingkan dengan majlis Pasti yang terdahulu umpamanya Ihtifal Negeri Perak. Mungkin kerana Dewan Pemuda Pas memainkan peranan dengan menjadi tunggak utama di dalam perancangan dan perlaksanaan majlis ini. Sekalung tahniah juga buat Pas Cawangan Gopeng yang menjadi tuan rumah kerana kelancaran persediaan dan kemudahan program malam itu.

Kehadiran MB Perak juga sedikit sebanyak membuatkan perancangan diatur lebih teliti dan kemas berbanding dahulu. Banyak lagi faktor yang menyumbang kearah kemantapan majlis kali ini. Itulah semangat berpasukan yang patut ada dan dilaksana. Semoga majlis ini menjadi perintis kepada kecemerlangan program-program yang akan datang.

Konvokesyen Pasti kali ini juga menyaksikan beberapa perkara yang menjadi 'pertama kali'. Umpamanya :-

1. Pertama kali dibuat pada waktu malam. Nyaris tiada anak-anak Pasti yang tertidur kecuali seorang dan juga salah seorang tetamu iaitu Alhusseyn. (baca ulasannya disini.)

2. Pertama kali dibuat didalam dewan. Kebiasaannya hanyalah dibuat di Pasti itu sendiri.

3. Pertama kali dirasmikan oleh pembesar negeri iaitu Menteri Besar Perak. Kebiasaannya majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Kawasan ataupun Pengerusi Pasti itu sendiri.

4. Pertama kali perbelanjaan yang melibatkan jumlah yang agak besar. Berbanding dengan majlis yang terdahulu yang hanya menumpukan kepada perbelanjaan sijil dan hadiah kepada anak-anak Pasti.

5. Pertama kali diadakan Anugerah Khas. Penerima Anugerah 'Jasamu Dikenang' kali ini ialah Imam Hj Fahme B Zakaria.

Syabas saya ucapkan dan diharap kejayaan dan kecemerlangan ini tidak berakhir hanya disini.

Ehsan : ajijoi.blogspot.com

(Kesemua gambar-gambar dibawah ini boleh ditempah dengan menghubungi Sdr Zainul Azhar [Pengarah program] di talian 019-5781700)









Thursday, November 13, 2008

Ralat

Tarikh Liqa' Fikri PAS Gopeng yang lepas adalah pada 29 Oktober 2008. Mohon maaf atas kesilapan.

Badrin Khalid
Setiausaha PAS Gopeng

Saturday, November 8, 2008

Meludah ke Langit, Jangan Sampai Terkena Muka Sendiri.

Saya telah membaca tulisan Alhusseyn (walaupun agak lewat) yang saya anggap menghina PAS Gopeng secara khususnya dan PAS secara amnya. Ketika mendapat makluman mengenai tulisan tersebut, saya berada di Kuala Lumpur kerana menghantar ibu saya yang akan berangkat ke Mekah. Ketika mendapat makluman daripada Setiausaha DMP Kawasan mengenai tulisan tersebut, saya terus menghubungi YDP Kawasan yang kebetulan baru pulang dari tanah perkuburan.

Alhusseyn menulis:

”Saya memberitahu Cikgu Badrin , Setiausaha Kawasan supaya menyampaikan berita kematian dan waktu untuk pengkebumian jenazah tersebut. Hingga ke saat ini, jam kat dinding menunjukan 1.25 pagi; saya belum menerima kunjungan dari orang jemaah PAS Kawasan Gopeng selain tiga orang yg saya hubungi sendiri – Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat, Radhi Zainon , Ketua Kampung Simpang Pulai, Abu Bakar (Bob) dan Zulkifli Hasan , JKKK saya.”

Selaku Setiausaha Kawasan, saya telah memaklumkan pemergian ibu saudara Alhusseyn kepada semua AJK Kawasan. Saya sendiri telah memberitahunya bahawa saya tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur. Saya juga berharap agar berita tersebut disebarkan.

Ini bukanlah kali pertama Alhusseyn bersikap ’Aku Saja Yang Betul’. Saya masih teringat tulisannya tahun lepas selepas pemilihan YDP Gopeng yang baru, beliau telah secara terbuka menghina Ust Abu Bakar Hussein (kini TPJ 1 PAS Perak) yang saya baca melalui Harakah Daily. Walaupun saya sempat membalasnya dalam komen yang berikutnya, tetapi agak terlewat. Bukanlah tujuan saya untuk ’menelanjangi’ sikap Alhusseyn sebagaimana yang dilakukannya terhadap PAS Gopeng. Namun, selaku Setiausaha PAS Kawasan dan ahli PAS, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik jemaah ini (mungkin Alhusseyn tidak terfikir demikian). Ruang untuk menegur jemaah bukannya tidak ada di dalam PAS. Beliau boleh memaklumkannya kepada sahabatnya yang juga merupakan AJK PAS Kawasan untuk dibawa ke dalam mesyuarat kawasan yang diadakan pada setiap bulan atau menggunakan saluran-saluran lain secara lebih bersopan. Manusia yang rasional boleh menilai sikap Alhusseyn melalui tulisannya.

Alhusseyn juga menulis:

”Berdetik dihati saya, agaknya, kalau anak kucing MB Nizar yang mati , tentu masing-masing akan berebut-rebut berkejar ke residensi MB untuk mengucapkan takziah masing-masing....”

Mungkin Alhusseyn tidak melatah jika yang pergi bukan ibu saudaranya. Namun apabila ianya berlaku kepada dirinya sendiri, mungkin Alhusseyn perlu memuhasabah hubungannya dengan sahabat-sahabat sebelum ini. Bagaimana pula sikap Alhusseyn terhadap program-program jemaah sebelum ini? Mungkin ikatan yang dibina oleh Alhusseyn dengan PAS Gopeng belum benar-benar kukuh. Adakah Alhusseyn sendiri hadir ke pengebumian mana-mana ahli PAS Gopeng yang berlaku sebelum PRU12? Adakah apabila Alhusseyn sendiri tidak hadir bermakna program tarbiyyah PAS Gopeng gagal? Malahan adakah Alhusseyn hadir dalam program Liqa-ul Fikri PAS Gopeng yang diadakan pada 29 November yang lalu dimana saya telah memaklumkannya kepada semua AJK Kawasan, DPP, DMP, Ketua & S/U Cawangan serta Pengerusi JKK. (mengikut rekod yang hadir seramai 63 orang walaupun sms yang ana hantar kepada 96 orang). Jika beliau sendiri gagal menghadirkan diri dalam program-program anjuran PAS Gopeng sebelum ini, wajarlah untuk Alhusseyn memuhasabah dirinya semula. Kami (kepimpinan Gopeng) sentiasa bersangka baik apabila sahabat-sahabat tidak dapat hadir ke mana-mana program walaupun kita benar-benar mengharapkan kehadiran yang ramai supaya mudah untuk kita menyampaikan apa-apa maklumat terkini.

Saya tertarik pada komen Mee yang berbunyi:

”Salam.. takziah atas pemergian ibu saudara tuan... namun menjadikan ketidakhadiran sahabat2 sebagai kayu ukur keseluruhan PAS kawasan Gopeng adalah sangat mendukacitakan... maaf jika terkasar bahasa..... Al Fatihah...”

Bagi saya, kesalahan individu tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jamaah. Bukankah YDP dan ketua Pemuda Kawasan telah hadir. Tidak bolehkah Alhussyen berfikir bahawa sahabat-sahabat yang lain mungkin ada keuzuran mereka sebagaimana Alhusseyn sendiri sering uzur untuk hadir dalam program-program PAS Kawasan tanpa khabar berita. Saya teringat kata Almarhum ayah saya, ”Kalau kita berat kat orang, insyaAllah orang juga akan berat kat kita.”

Saya memohon maaf kerana menggunakan ruang ini untuk membalas tulisan Alhusseyn di dalam blognya. Namun bagi saya, jika ada individu yang mengaibkan PAS secara terbuka maka saya juga akan menjawabnya (bukan tujuan untuk mengaibkan) secara terbuka. Bagi saya juga, Alhusseyn berhutang kemaafan daripada PAS Gopeng kerana tulisannya itu yang jauh dari kebenaran. Ingatan saya, jika meludah ke langit, jangan sampai terpalit ke muka sendiri. Mohon maaf sekali lagi. Wallahualam.

Badrin Khalid.

(Setiausaha PAS Kawasan Gopeng)

Thursday, November 6, 2008

Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Kompleks Pas Perak


Ipoh,6 Nov 2008 : PAS Perak akan melancarkan sebuah tabung bagi menjana dana penubuhan sebuah kompleks yang akan menjadi kebanggaan kepada PAS di Perak kelak.

Pelancaran tabung tersebut akan diadakan di Padang Mini Stadium Gugusan Manjoi,Ipoh pada Sabtu, 9 November ini.

Mengikut Ketua Pemuda PAS Perak, Ust Norazli Musa, program pelancaran tabung tersebut adalah dibawah anjuran Dewan Pemuda PAS Perak sendiri dengan mengadakan Solat Hajat untuk memohon kepada Allah S.W agar dipermudahkan di semua peringkat urusan penubuhan kompleks tersebut.

"Mudah-mudahan Allah bukakan hati semua orang untuk membantu dan memberi laluan kearah pembinaan Kompleks PAS tersebut," kata Norazli dengan penuh harapan.

"Beberapa pimpinan parti akan berucap dalam majlis tersebut.Antaranya ialah Ust Ahmad Awang , selaku Pesuruhjaya PAS Perak, YAB Menteri Besar , Dato Seri Ir Nizar dan seorang pimpinan dari pusat yang belum dapat dipastikan lagi," jelas Norazli.

Mengikut Norazli, "Majlis akan bermula dengan solat Maghrib berjemaah; maka adalah diharapkan orang ramai akan dapat hadir terlebih awal bagi tujuan tersebut dan mereka diminta supaya membaya sejadah masing-masing."

"Diharap cuaca pada hari tersebut baik dan akan memihak kepada kita," demikian harapan Ust Norazli.


Tuesday, October 28, 2008

Jamuan Hari Raya Surau Al-Ehsan

25/10/2008 - Surau Al-Ehsan telah mengadakan Jamuan Hari Raya pada jam 9.00 malam anjuran bersama Parti Keadilan Rakyat Kawasan Gopeng.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, jamuan ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara jemaah surau dan juga penduduk sekeliling termasuklah yang bukan beragama Islam.

Tetamu khas yang hadir adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perak, Ust Abu Bakar, Setiausaha Pas Perak, Haji Abdul Rahim Mat Ariff dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Sambutan Hari Raya Pas Gopeng

26/10/2008 - Pas Kawasan Gopeng telah mengadakan majlis Sambutan Hari Raya bertempat di Dewan Bandaran Gopeng petang tadi.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Exco Agama Islam Perak, Haji Zainuddin, Setiausaha Pas Perak yang juga YDP Pas Kawasan Gopeng, Haji Abdul Rahim Mat Ariff, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan juga Ahli Majlis MBI dan Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat, Sdr Radzi Zainon.

Selain jamuan Hari Raya, Pas Kawasan Gopeng juga mengadakan sumbangan kepada fakir miskin dan juga pemberian duit raya kepada kanak-kanak.




Sambutan Hari Raya Kg Rapat Jaya Tambahan

26/10/2008 - Kg Rapat Jaya Tambahan juga tidak ketinggalan mengadakan Jamuan Hari Raya untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk setempat.

Majlis dimulakan dengan ucapan dan bacaan doa oleh Ketua Kampung Rapat Jaya Tambahan iaitu Haji Wahid Bin Parmin diikuti dengan ucapan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perak, Ust Abu Bakar. Turut hadir ialah Setiausaha Pas Perak dan juga YDP Pas Gopeng iaitu Haji Abdul Rahim Bin Mat Arif.

Majlis juga diserikan lagi dengan pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Monday, October 27, 2008

Sambutan Hari Raya Pas Perak

Ipoh , 24 Oktober 2008 : Sambutan Hari Raya yang di anjurkan oleh PAS Perak yang berlangsung di Ibu Pejabat Perhubungan Negeri tengahari kelmarin disambut dengan semangat pemuafakatan yang cukup ceria dan meriah dengan kehadiran berbilang kaum yang datang untuk beramah mesra sambil menjamu hidangan yang menyelerakan.

Turut hadir di majlis tersebut beberapa Exco negeri seperti Tn Hj Mohd Zainuddin bersama isteri, Encik Jamaluddin bin Mohd Radhi, Encik Nga Kor Ming, dan kelihatan juga Timbalan Setiausaha Agong PKR Pusat, Pn Suzana Manja Ibrahim, Pengerusi PKR negeri, Tn Hj Ismail Yusof, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan lain-lain.

Tetamu yang hadir rata-ratanya terdiri daripada kalangan penduduk tempatan persekitaran Ipoh sahaja.Apa yang menariknya ialah kehadiran kakitangan kerajaan yang turut hadir secara terang-terangan tanpa rasa takut-takut seperti mana dahulu.Mereka mengambil kesempatan masa rehat makan tengahari untuk menyertai majlis yang meriah itu.

Pesuruh Jaya Negeri, Ust Ahmad Awang telah menyampaikan ucapan alu-aluan dipermulaan majlis tersebut yang sebelum itu bacaan doa selamat telah disempurnakan oleh Ust Zulkarnain Ibrahim.

Menurut Sdr Rahim Mat Ariff, “Majlis yang diadakan itu lebih tertumpu untuk meraikan perayaan tersebut dengan sahabat-sahabat Pakatan Rakyat,”“Di setiap peringkat cawangan dan kawasan PAS, mereka telah mengadakan sambutan perayaan ‘Aidil Fitri masing-masing,” jelas Rahim.Menurut Rahim, “PAS Kawasan Gopeng , misalnya , akan mengadakan sambutan hari raya pada Ahad 26 ini bertempat di Dewan Orang Ramai , Gopeng; sementara itu pula PAS Kawasan Batu Gajah akan mengadakan Hari Rayanya pada sebelah malam tarikh yang sama di Arena Squre bermula jam 8.00 malam,”

Sumber : Alhusseyn






Gambar : Zainal Arif

Sunday, October 19, 2008

Majlis Ihtifal & Sambutan Aidilfitri Pasti Kawasan Gopeng


Majlis Ihtifal, Sumbangsih & Sambutan Aidilfitri PASTI Kawasan Gopeng telah diadakan di Pasti Ammar, Pinji Perdana hari ini.

Empat Pasti telah diraikan iaitu Pasti Al-Ehsan (Rapat Setia), Pasti Pintar (Simpang Pulai), Pasti Sinaran Wahyu (Kopisan Baru, Gopeng) dan Pasti Ammar (Changkat Larang).

Pertandingan nasyid juga diadakan diantara 4 Pasti ini untuk memilih wakil ke pertandingan nasyid Pasti Perak. Juara yang terpilih berdasarkan markah tertinggi ialah Pasti Al-Ehsan.

Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Fatihah Binti Mohammad Nizar iaitu anak kepada Menteri Besar Perak. Puan Fatihah tidaklah asing kepada Pasti kerana beliau juga dahulunya adalah salah seorang tenaga pengajar di Pasti.

Turut hadir adalah Pengerusi Pasti Ammar, Imam Fahme dan juga Pengerusi Pasti Kawasan Gopeng, Raja Yusof.

Sedikit sumbangan juga diberikan bagi menghargai jasa guru-guru Pasti yang begitu teguh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.

Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisi ALLAH S.W.T.

Gelagat dan keletah anak-anak didik Pasti ini menceriakan lagi sambutan aidilfitri yang disambut bersama dengan ibu bapa dan tetamu yang hadir.

Lagi cerita bergambar di ajijoi.












Sunday, October 12, 2008

Nur Kasih Syawal disambut meriah


IPOH (11/10/2008) : Sambutan Hari Raya Aidilfitri ataupun Nur Kasih Syawal yang berlangsung secara meriah di Dewan Dato' Ahmad Said, Kg Sg Rokam dibanjiri orang ramai melebihi 1,000 orang daripada pelbagai lapisan dan kaum.

Majlis ini dianjurkan oleh Parlimen Gopeng, Majlis Agama Islam Dareah Kinta dan juga JKK Kg Sg Rokam.

Bertambah kemeriahannya apabila YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye sudi meluangkan masa untuk bersama-sama rakyat.

Turut serta di jamuan ini adalah YB Ahli Parlimen Bukit Gantang Haji Roslan Shahrum, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, Adun Teja, Ketua-ketua Kampung sekitar Dun Sg Rapat dan juga para jemputan yang lain.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis iaitu Sdr Radzi Zainon diikuti dengan ucapan oleh pengelola majlis dan juga ketua JKK Kg Sg Rokam Mohd Ali Bin Hussain, Dr Lee Boon Chye dan seterusnya oleh MB Perak.

Acara diteruskan dengan sumbangan kepada fakir miskin dan juga mangsa banjir di Kg Sg Rokam yang disampaikan oleh MB Perak sendiri.

Sebelum bersurai, para tetamu, jemputan dan juga orang ramai menjamu selera dengan hidangan yang disediakan oleh pihak pengelola.

Berita bergambar seterusnya di sini dan juga gambar serta sedutan ucapan MB Perak di sini.









Sunday, October 5, 2008