Tuesday, April 7, 2015

Petikan kenyataan media YB Radzi Zainon dari HarakahDaily : Perang dunia ketiga kerana krisis air ?

Ipoh : Kajian di peringkat antarabangsa menjangkakan krisis perebutan air adalah menjadi pencetus kepada peperangan dunia ketiga.

ADUN Sg Rapat, YB Radzi Zainon berkata, peperangan tersebut dijangka berlaku pada tahun 2060 khususnya merujuk kepada negara-negara yang telah melakukan banyak kerosakan alam sekitar termasuklah penebangan hutan dan sebagainya.

" Kajian antarabangsa khususnya negara-negara yang mengalami krisis alam adalah menjadi punca kepada berlakunya peperangan dunia ketiga yang dijangkakan akan berlaku pada tahun 2060. Oleh yang demikian, kita perlu berusaha memastikan alam sekitar di negara khususnya di negeri ini dapat dikawal dan dijaga dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Negeri Perak semalam.

YB Radzi menjelaskan, kerisauan ini menunjukkan bahawa alam yang dikurniakan Allah ini merupakan alam yang memberikan khidmat kepada manusia.

Sebagai usaha mengatasi gejala pencemaran alam, beliau telah membangkitkan cadangan mewujudkan Indeks Pencemaran Alam Sekitar dalam persidangan sebelum ini. Namun katanya, maklumat yang diperolehi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)  mendapati ia masih belum diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Perak dibawah pemerintahan Menteri Besar Dato' Dr. Zambry Abd. Kadir.

" Walaupun ia belum diwujudkan saya mengharapkan agar Jabatan Alam Sekitar mengambil langkah yang proaktif untuk mewujudkannya sesegera yang mungkin. Indeks tersebut sangat penting sebagai indikator terhadap tahap pencemaran yang berlaku di mana-mana terutama di negeri ini, " jelasnya lagi.

Beliau menyatakan, berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh JAS kepadanya berkaitan pencemaran alam yang berlaku di dalam negeri Perak daripada tahun 2005 hingga bulan Oktober 2014, purata mendapati hampir setiap tahun lebih daripada 500 kes telah dicatatkan.

Tambahnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 sedikit sebanyak telah menjadi benteng kepada kelestarian alam daripada pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab.

" Saya melahirkan rasa syukur apabila masih ada agensi-agensi kerajaan yang telah bertindak memberi kerjasama kepada JAS bagi memastikan kelestarian alam sekitar tempat hidup dan dihuni oleh manusia dapat dikekalkan, " katanya lagi. - HARAKAHDAILY 3/4/2015 

No comments: