Thursday, February 12, 2009

PAS dan orangramai.


Seorang sahabat, ditanya mengenai muktamar PAS sedikit masa lalu berkata 'hiruk pikuk' persidangan seperti dilaporkan oleh media massa, adalah ibarat 'storm in the tea cup' (ribut dalam cawan teh).

Baginya yang penting bukan apa yang 'diributkan' atau 'menjadi ribut' tetapi hasilnya jika diterjemahkan dalam bentuk sokongan orang ramai kepada pergerakan itu.

Sekarang momentum sokongan kepada PAS amat hebat dan ia perlu diterjemahkan pada pilihan raya umum akan datang, atau lebih cepat lagi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi.

Pertukaran barisan kepimpinan pada muktamar akan datang adalah soal dalaman yang membabitkan perwakilan dan ahli, tetapi persepsi orang ramai di luar sana terhadap PAS adalah amat penting bagi menentukan masa depannya.

Bagi media massa (akhbar) pula, 'gembar-gembur' mereka adalah untuk melariskan jualan sedangkan di mata pembaca, belum tentu sokongan kepada PAS akan meningkat akibat hebahan (publisiti) yang diberikan secara besar-besaran.

Sesetengah akhbar mingguan, misalnya, sanggup meluangkan sejumlah muka surat laporan dan wawancara membabitkan tokoh PAS tetapi apakah ini dapat dijadikan sandaran bahawa PAS sudah dapat sokongan hebat massa (orang ramai) di luar sana?

Bagi penulis, pengalaman menganjurkan majlis membabitkan ibu bapa (orang ramai) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru (JIBG) sebuah Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti), mungkin dapat dijadikan iktibar dalam mengukur sokongan orang ramai terhadap salah satu aktiviti PAS dan mungkin kepada PAS sendiri.

Sejak menjadi Pengerusi Pasti itu beberapa tahun lalu, penulis mendapati sokongan orang ramai amat dingin sekali. Pada setiap kali mesyuarat, yang hadir hanyalah seorang dua ibu bapa sebagai ahli JIBG. Dari setahun ke setahun, ia semakin merosot sehingga pada mesyuarat terakhir, yang hadir hanya penulis dan guru-guru Pasti berkenaan.

Banyak alasan mengapa ibu bapa tidak mahu terbabit dalam kegiatan Pasti. Antaranya, mereka mendakwa sebagai kaki tangan kerajaan, 'bayang-bayang' mereka pun tidak boleh 'kelihatan' dalam apa saja kegiatan PAS atau yang berkaitan dengannya. Mereka bimbang ada 'reporter' atau 'spy' yang akan melaporkan kehadirian mereka itu kepada pegawai atasan jabatan masing-masing.

Pernah seseorang memberitahu penulis, seorang guru dikenakan tindakan tatatertib selepas ada orang membuat laporan anak-anaknya berkeliaran di kawasan sekolah tempat dia mengajar dengan berpakaian seragam Pasti (berwarna hijau dengan kopiah putih atau tudung putih bagi perempuan).

Memikirkan bagaimana menarik ibu bapa datang ke premis Pasti, penulis dalam mesyuarat terakhir itu mencadangkan kepada guru-guru Pasti meminta ibu bapa datang sendiri mengambil buku rekod keputusan peperiksaan pertengahan penggal anak-anak masing-masing, sama seperti diamalkan sebahagian besar sekolah-sekolah.

Guru-guru berkenaan kemudian menetapkan suatu hari yang dinamakan 'Hari Ibu Bapa', yang selain daripada bertujuan agar ibu bapa datang mengambil buku rekod anak masing-masing, diaturkan acara lain seperti ceramah motivasi dan pelbagai pertandingan anak-anak Pasti.

Hasilnya sungguh membanggakan. Boleh dikatakan hampir semua ibu bapa kira-kira 100 murid Pasti itu hadir. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh penceramah motivasi untuk menerangkan kelebihan memilih Pasti sebagai institusi pra-sekolah dan kewajipan bersama-sama berjuang dalam pergerakan Islam.

Pada mulanya penulis fikir penceramah itu akan bercakap 15 minit saja tetapi sungguh tidak disangka ia hampir mencecah satu jam! Bagaimanapun penulis lihat ibu bapa tenang saja, membutikan penceramah berjaya menarik minat mereka untuk mengetahui salah satu cabang aktiviti PAS!

Demikianlah pemimpin, ahli dan penyokong PAS perlu memikirkan pendekatan agar PAS dapat diterima di luar sana sebagai sebuah pergerakan yang memperjuangkan masa depan mereka.

Seorang sahabat penulis, yang kini CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebuah firma berkaitan kerajaan, berkata ahli dan penyokong PAS perlu diyakinkan untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat. Tidak cukup cakap-cakap untuk berjaya di akhirat saja kerana siapakah kita untuk menentukan perkara itu sedangkan 'habuan' dunia perlu dibuktikan keberhasilannya.

Bercakap dengan orang kebanyakan akan terpantullah kata-kata - kalau aku sokong PAS, apa akan aku dapat - jelas menunjukkan material sudah dan akan terus menjadi sandaran untuk diberikan sokongan.

Sebagai sebuah pergerakan Islam, tentulah PAS tidak dapat memberi jaminan kebendaan itu. Jika perjuangan nabi-nabi dijadikan rujukan, mereka juga tidak memberi jaminan berkenaan, yang mereka usahakan bersungguh-sungguh, sehingga ada yang terkorban, adalah untuk menegakkan kalimah Tauhid agar manusia selamat di dunia dan akhirat.

Sejak ditubuhkan lebih 50 tahun lalu, 'keberadaan' PAS dalam masyarakat membolehkan usaha dakwah terus disemarakkan, daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Bagaimanapun dalam menggerakkan sokongan sehingga ke tahap PAS mendapat pengaruh dan kuasa politik, tentulah satu anjakan besar diperlukan.

Disebabkan amalan demokrasi menjadi pilihan (di mana sokongan orang ramai diperlukan), adalah penting untuk ahli dan penyokong PAS membuktikan mereka adalah individu yang berjaya dalam bidang masing-masing. Mereka perlu 'mempotret' kejayaan bagi menarik kepercayaan dan minat orang lain.

Seorang sarjana Barat pernah berkata beliau tertarik untuk memeluk Islam selepas menyedari kemurnian agama itu melalui pengkajiannya tetapi selepas mengembara di dunia Islam, beliau mendapati kemurniaan itu tidak terpancar melalui perlakuan sebahagian ummah.

Beliau bersyukur kerana sudah memeluk Islam terlebih dahulu kerana jika dilihat daripada cara hidup sebahagian orang Islam, mereka tidak mengamalkan ajaran Islam (seperti kebersihan, bersopan santun - mengucapkan tahniah, berterima kasih dan beratur) tetapi sebaliknya ia menjadi amalan masyarakat Barat (Eropah).

Demikianlah ahli PAS perlu membuktikan mereka berada beberapa tahap di depan berbanding orang lain sama ada dari segi amalan keduniaan atau pun keakhiratan.

Dengan berada di posisi begitu, moga-moga orang ramai akan tertarik kepada perjuangannya, untuk menghasilkan manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kejayaan di dunia adalah penting sebagai bahan bukti bagi membolehkan orang ramai yakin dengan perjuangannya.

Tuesday, February 10, 2009

Dari Allah Dia Datang, Kepada Allah Dia Kembali...






Kepulangan ke rahmahtullah YB Hj. Roslan Shaharum Ahli Parlimen Bukit Gantang benar-benar mengejutkan sahabat-sahabat ikhwan diseluruh tanahair.

Tidak kurang 10,000 ribu orang telah hadir ke tanah perkuburan di Changkat Larang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

Gambar-gambar ini menceritakan segalanya. Tinggallah segala kemewahan dunia yang fana ini...

Sunday, February 8, 2009

Kita Tidak Kalah Dan Tidak Akan Bersedih.


Kita tidak kalah di Perak, kita terima kuasa dari mandat rakyat tetapi kita jatuh angkara “politik pintu belakang”. Pokoknya rakyat tidak menolak kita yang menolak kita adalah mereka yang bermain “politik pintu belakang” itu.

(Ust. Hj. Misbahul Munir, Setpol Menteri Besar Perak sedang berbual dengan Sdr. Muhaimin Sulam dari Lampeter, London tentang perkembangan terkini di negeri Perak)

Lalu sebagaimana dianjurkan oleh sahabat saya adinda Nik Abduh didalam blog beliau:

Jika anda yakin rakyat sedang berubah untuk menolak rasuah dan pemimpin rasuah, yakinlah kita pembangkang sedang berada di laluan tepat menuju kemenangan. Rakyat bersama kita dan kita bersama rakyat. Kuala Terengganu masih segar menjadi sumber kekuatan.

Jika rakyat pun menolak kita, janganlah juga anda bersedih. Jika tidak, anda termasuk dalam kalangan orang - orang yang tidak yakin dengan janjiNya.

Beliau sebelumnya menyebut:

Anda baca buku ‘La Tahzan’ karangan seorang ulama masyhur itu? Baca tak?
Jika belum, beli dan baca. Saya telah membacanya dalam teks asal Arabiyyahnya. Ayahanda juga telah membacanya sebab saya telah membacanya setelah saya mengambil buku itu daripadanya setelah dibacanya buku itu.

Jika anda telah membacanya, maka amalkannya.

Apa? ‘La Tahzan’. Jangan bersedih!

“Jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita.”

“Maka bersabarlah ( wahai Muhammad ). Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Dan janganlah orang - orang yang tidak yakin ( dengan janji tuhan itu ) meremehkanmu ( dan mendorongmu untuk tidak tetap dan thabat di atas suruhan dan laranganNya. )” - Akhir al Rum.

Di mata rakyat kita adalah pejuang sebenar, pemimpin sebenar dan lebih penting lagi kita tahu di hadapan Allah swt kita beroleh redha Nya. Oleh itu terimalah dugaan kecil ini dengan tenang, kita yakin dengan izin Allah swt, apabila kuasa kembali ketangan rakyat, ia tidak akan diserahkan kembali kecuali kepada pemimpin yang mereka senangi dan yakini!

Kita dari dahulu sehingga kini dan insyallah sampai bila-bila akan tetap yakin dengan janji Allah swt, ia pasti datang, lantas orang PAS tidak akan bersedih tetapi bekerja dan terus bekerja untuk memperoleh janji Allah swt itu samada kita syahid atau menang untuk mendapatkannya.

Roslan SMS

Wednesday, February 4, 2009

Operasi tawan Perak gagal.


Nampak gayanya suasana semakin reda di Perak. Apa yang dikatakan lompatan sekurang-kurangnya 3 ADUN Pakatan Rakyat ke BN sehingga kononnya mampu mencuri majoriti kerajaan negeri dan menumbangkannya, setakat hari ini nampaknya tidak berhasil. Ada tidak hanya 2 “ekor” yang melompat, itu pun sekejap sedar sekejap tak sedar, apa pun kesudahannya jika sekadar itu sahaja yang mampu dipancing BN secara kotor maka tidaklah jatuh kerajaan pilihan rakyat itu selain bersandar pada majoriti “1” kerusi.

PR tidak perlu membubarkan dewan, PR masih boleh terus kekal memerintah sebagaimana Kelantan pada penggal yang lalu.

Oleh itu jika ditakdirkan SPR memanggil pilihan raya kecil maka akan berlakulah pertarungan lagi selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu kini di kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang pula.

Bersedialah kita semua untuk turun ke sana dan menebus hak kita yang cuba dicuri itu. Jika kita mampu mempertahankan kedua-dua kerusi ini, saya yakin, lanskpa politik baru buat Malaysia sebagaimana saya gambarkan pasca Kuala Terengganu akan lengkap terlukis, maka tidak mustahil “tahun lembu” dalam kalendar Cina tahun ini adalah tahun terakhir buat hayat dan riwayat Umno dan BN!

Buat masa ini apa yang perlu kita lakukan adalah memastikan parti-parti rakan dalam PR masing-masing dapat mempertahan dan membela wakil-wakil rakyat masing-masing. Jangan lagi ada yang sanggup menggadaikan maruah dan nama baik demi sekarung kekayaan dunia. Sama-sama kita berjaga dan berkawal. Umno semakin sesak nafas dan talian hayatnya ada ditangan kita, fikirkanlah.

Roslan SMS

Tuesday, February 3, 2009

Sibuk dan penat...



Dengan 'kegawatan' senario politik negeri Perak yang diuar-uarkan oleh media arus perdana ketika ini, namun keadaan di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak tetap tenang seperti biasa.

Ketika ini negeri Perak menjadi tumpuan wartawan-wartawan dari perbagai media untuk mendapat berita terbaru dan exklusif.

Begitulah yang terjadi kepada sahabat yang seorang ni, penat menjawab panggilan telefon dari seluruh negara bertanya keadaan terkini di negeri Perak, sampai terlelap sekejap diruang sofa pejabat.

Begitu juga kehadiran wartawan Siasah dan TvPas menjadikan sahabat-sahabat ni teruja untuk bertugas dalam Pilihanraya Kecil yang akan diadakan nanti.

Saturday, January 31, 2009

Watikah Kepada Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perak.





Bertempat disalah sebuah restoran di Bandaraya Ipoh pada hari Jumaat 30hb. Januari 2009, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak telah meraikan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Negeri Perak dalam suatu majlis ringkas.

En. Suria Narayanan telah dipilih sebagai pengerusi dalam satu mesyuarat yang telah diadakan sebelum itu.

Turut sama diraikan dalam majlis berkenaan ialah En. Bala Subramaniam selaku Pengerusi Kelab Penyokong PAS Negeri Pahang merangkap Pengerusi Kelab Penyokong PAS bagi kaum India diperingkat Pusat.

Beliau bersama rombongannya ke negeri Perak sebagai lawatan muhibbah.

Watikah perlantikan telah disempurnakan oleh Ust. Hj. Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak merangkap Naib Presiden PAS Pusat.

Turut hadir bersama ialah Yang Berhormat Tuan Hj. Zainuddin Mohd. Yusof, Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Lajnah Hubungan Antara Kaum serta beberapa orang ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dari kaum India di negeri Perak.

Friday, January 30, 2009

Majlis Penyerahan Watikah Ketua Kampung.



Satu majlis penyerahan watikah sebagai Ketua Kampung telah diadakan pada hari Khamis 29hb. Januari 2009 di Dewan Millenium, Pasir Salak.

Watikah disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak, Ust. Hj. Misbahul Munir Masduki.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Sdr. Mustafa Kamil Ayub dan Tuan Hj. Mustafa Shaari.

Antara lain dalam ucapan Ust. Hj. Misbahul, beliau menegaskan agar Ketua Kampung yang telah diamanahkan jawatan tersebut agar menjadi mata dan telinga rakyat mendengar sebarang permasalahan ahli kariah kampung untuk disuarakan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan.

Thursday, January 29, 2009

Bob berpindah ke Wad 3A.





Gambar Bob selepas menjalani pembedahan.















Gambar Bob sebelum menjalani pembedahan kerongkong.







Kepada sahabat-sahabat yang belum melawat Sdr. Abu Bakar b. Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Bob, silalah melawat beliau di wad 3A, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Beliau telah berada di hospital berkenaan semenjak 7hb. Januari 2009 selepas mengalami kemalangan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk hari penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Wednesday, January 28, 2009



IPOH, 28 Jan :- Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Bota, Dato Nasaruddin yang membuat tindakan berani berubah kepada Pakatan Rakyat (PR), diharapkan dengan pengalaman beliau dapat membantu Kerajaan Perak. Demikian antara ucapan YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar jamaluddin dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat ADUN Bota di pejabatnya di sini.

Dalam sidang akhbar itu juga Dato Nasharuddin mengesahkan beliau telah menyerahkan borang keahlian PKR Ahad lepas dan menghantar surat keluar dari UMNO sehari sesudah itu.

Hadir sama ialah Speaker Kerajaan Negeri, V. Sivakumar, Exco Kerajaan Negeri, Hj. Mohd. Zainuddin Mond. Yusof dan Tai Sing Ng, Juga ADUN pakatan Rakyat, Khalil Idham Lim (Titi Serong), Abdul Yunus Jamahari (Kuala Kurau), Hj. Husin Din (Selingsing), Sum Cheok Ling (Bercham), Chan Mung kai (Simpang Pulai), Chang Lih kang (Teja), Keseven (Hutan Melintang), Pengerusi PKR Negeri Perak , Hj. Osman Abd. Rahman, Setiausaha Keadilan Perak , Anwar Zakaria , Ketua Wanita Keadilan Negeri, Fathmawaty Salim , Bekas Pengerusi Keadilan Negeri, hj. Ismail dan pegawai pejabat Menteri Besar yang lain.

"Saya mengalu-alukan tindakan bijak ADUN Bota untuk sama-sama memajukan Negeri Perak, kita akan fokus untuk membangunkan Bota yang ramai bangsa Melayu, demikian juga peruntukan ADUN akan diberikan kepada beliau" Jelas Ir. Nizar dalam sidang akhbar tersebut.

Menjawab soalan dari wartawan adakah perlu diadakan pilihaanraya kecil, Ir.Nizar menjelaskan mengikut peruntukan undang-undang ianya tidak perlu kerana Dato ' Nasaruddin tidak berhenti dari menjadi ADUN.

Ir. Nizar mengatakan bahawa ramai yang bersetuju dengan tindakan ADUN Bota itu dan akan turun untuk memberi penjelasan. Menjawab soalan lain beliau menafikan dakwaan BN yang mengatakan tindakan Pakatan Rakyat menerima ADUN Bota adalah salah kerana Pakatan Rakyat sentiasa terbuka, dan itu adalah hak siapapun untuk membuat keputusan, dan saya harap jangan usik, ganggu dan kacau mereka untuk buat keputusan, tegas Ir. Nizar.

"Beliau masuk dengan tidak ada tawan, melainkan dengan niat suci dan pengorbanan yang tinggi" Jelas Ir. Nizar dan disahkan oleh Dato' Nasharuddin dengan katanya ringkas "tidak ada tawaran".

Selain itu apabila ditanya apakah pandangan beliau mengenai kemungkinan Tajol Rosli yang akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO negeri dan diganti oleh Najib, Ir. Mengatakan "sepatutnya letak jawatan lama dah, dan saya hormati apa saja keputusan beliau".

Ditanya kepada ADUN Bota adakah dapat mengubah keputusan sebelum ini apabila Najib memegang jawatan sebagai Pengerusi UMNO negeri, dengan ringkas beliau menjawab"InsyaAllah tidak".

Cina Islam.

Ceramah Timbalan Mursyidul Am PAS.

Monday, January 19, 2009

Rakyat Menghukum BN Sekali Lagi.

Alhamdulillah, calun PAS, Hj Abdul Wahid Endut telah memenangi piliharaya kecil Kuala Terengganu P.36 dengan undi 32,883, manakala calun BN memperolehi 30252 undi. Rakyat berbilang kaum sekali lagi menghukum BN dengan menolak calon yang bertanding. Mesej yang disampaikan oleh rakyat kali ini jelas walaupun BN telah menyalahgunakan jentera kerajaan termasuk PDRM dengan hasrat menakut-nakutkan pengundi.

Mereka membuat tipu-daya, dan Allah juga membuat tipu daya. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Alhamdulillah.

Zulkifli Nordin.

Thursday, January 15, 2009

Hudud dan Kuala Terengganu.



Penjelasan yang dibuat oleh Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bahawa hukum hudud jika dilaksanakan dalam negara hanya akan diwajibkan ke atas umat Islam manakala yang bukan Islam punya pilihan telah menjelaskan keadaan dan meredakan kritikkan yang tidak berasas terhadapnya. Dato Seri Anwar Ibrahim pun telah menjelaskan pendirian PKR sekaligus menenangkan suasana.

Sebenarnya apa yang tidak diketengahkan oleh para pengkritik dan mereka yang menentang perlaksanaan hukum jenayah syariah Islam ini adalah bahawa ianya jika pun berjaya dilaksana hanya akan menjadi realiti setelah melalui proses demokrasi yakni dengan persetujuan ramai. Ianya tidak dapat dilaksana kecuali dengan persetujuan ahli-ahli dewan diperingkat negeri dan diperingkat pusat. Kalau rakyat menentang ia tidak dapat dilaksana. Kelantan dan Terengganu telah pun meluluskannya namun tidak terlaksana sebab ketiadaan sokongan diperingkat pusat.

Proses perundangan menurut kaedah yang telah kita terima pakai perlu dilalui sebelum ia dapat terlaksana. Ia tidak terlaksana sekadar melalui tekanan dan tuntutan PAS semata-mata, tetapi melalui mandat rakyat dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Bagi umat Islam tanpa mengira fahaman politik hukum ini adalah wajib dan jika ada usaha ke arah perlaksanaannya tidak kiralah oleh PAS atau Umno atau sesiapa sahaja, ia wajib disokong maka barulah hukum ini dapat dikuatkuasa dan kalau mengikut kenyataan Presiden PAS, jika PAS yang menerajuinya, maka ia akan jatuh wajib hanya ke atas umat Islam sahaja.

Lalu segala-galanya terletak atas kita. Jika kita akur dan faham maka mudahlah kita bersetuju dan memberi sokongan. Jika tidak PAS dan badan-badan serta NGO Islam yang lain saya percaya akan terus berdakwah dalam usaha memberikan kefahaman kepada rakyat.

Bagi masyarakat bukan Islam, jaminan yang diberikan oleh Presiden PAS itu sepatutnya meyakinkan mereka bahawa segala tohmahan dan momokkan mereka yang anti perundangan Islam ini tidak berasas sama-sekali. Sekarang inipun kita tahu bahawa negara mengamalkan dualisma perundangan. Mahkamah sivil membicarakan semua rakyat Malaysia dan dalam hal-hal tertentu khasnya perkahwinan dan cerai hanya melibatkan yang bukan Islam. Manakala mahkamah syariah negeri-negeri yang menguatkuasakan undang-undang pentadbiran Islam negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan hanya melibatkan umat Islam dan dalam kes-kes tertentu mereka yang ada urusan dengan hal-hal Islam khasnya dalam kes murtad.

Oleh itu tidak berbangkit perlunya mahkamah dan sistem perundangan baru kerana yang sedia ada sudah boleh terpakai.

Pokoknya mahu atau tidak kita pada perlaksanaan sistem keadilan Islam itu, PAS sebagai sebuah parti Islam akan terus memperjuangkan untuk memartabatkan sistem ini, suatu perjuangan yang sepi dalam kamus politik Umno. Umno sekadar berpuas hati dengan apa yang ada tanpa menunjukkan minat atau mengambil apa-apa inisiatif untuk menerapkan
sepenuhnya sistem keadilan Islam sebagaimana yang dituntut ke atas kita sebagai seorang Muslim. Buktinya apabila sahaja berbangkit isu hudud, Umnolah yang akan gelabah, melatah dan meracau, sedangkan sepatutnya sebagai pejuang agama, bangsa dan negara mereka sepatutnya bersama menyokong dan memperjuangkannya.

Tetapi apa yang sering berlaku, Umno akan memilih untuk melaga-lagakan PAS samada dengan masyarakat bukan Islam mahupun dengan sesama masyarakat Islam. Lantas hakikatnya Umnolah yang menggagalkan usaha memartabtkan sistem dan perundangan Islam ini sehingga ia gagal terlaksana sampai kini. Demikianlah besarnya sumbangan Umno terhadap kegagalannya.

Oleh itu jika benar kita ikhlas mahu melihat Islam kembali ke tapaknya yang asal, yang memimpin dan memberi keadilan kepada ummah, maka kita tiada pilihan lain selain memilih untuk bersama PAS dan meninggal serta menggagalkan Umno, apabila sahaja kita punya peluang dan kesempatan. Kini yang paling berpeluang adalah para pengundi di parlimen Kuala Terengganu, bangkitlah dan pilih untuk memartabatkan Islam. Undilah PAS.

Roslan SMS

Thursday, December 25, 2008

Apa Makna Penswastaan?

Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 80'an dahulu. Ini adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ini adalah dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrim.

Sebelum dasar penswataan di perkenalkan banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat awam. Banyak syarikat-syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.

Kaum pemodal meleleh air lior apabila melihat syarikat air, syarikat api, pejabat pos, syarikat talipon, syarikat kapal terbang, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat in diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksima. Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.

Khidmat untuk orang ramai ialah shahadah untuk semua syarikat-syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan - khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai. Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada orang ramai.

Tiba-tiba Mahathir Muhamad melancar skim cepat kaya pada tahun 80an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, Pembeklan Air, Pejabat Pos, Hospital, Taman Negara, Jalan Raya, Balai Raya, Dewan Orang Ramai, Rumah Rehat – semua ini adalah contoh-contoh syarikat dan harta orang yang ditelah diagih-agihkan oleh Mahathir Muhamad kepada kaum kerabat dan kroni-kroninya.

Inilah skim cepat kaya Mahathir Muhamad yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Di tahun-tahun itu, ketika Mahathir ditahta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi towkay gedung-gedung perniagaan. Kita mendengar Mat Driber Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.

Semua harta-harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk di jadikan milik pribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni. Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada badan Unit Perancangan Ekonomi - EPU. Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan Perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.

Hasilnya di zaman Mahathir Muhamad banyak lanun dan perompak menjadi kaya raya.

Bayangkan berpuluh puluh tahun syarikat dan harta-harta ini telah dibagunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa dari BOAC akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa. Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya Pejabat Pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara. Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka dan jalan raya dan landasan keretapi dibuat.

Berapa bilion ringgit pelaboran telah di curahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat yang telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini? Dalam sekelip mata sahaja semua harta-harta ini telah dirompak oleh Mahathir Muhamad. Harta-harta milik kita semua ini dengan bagitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.

Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar pengswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar globalisasi ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.

Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom. Tidak kah kita merasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar. Tidak kah kita merasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika? Tidak kah kita terganggu apabila syarikat talipon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea dan Australia?

Dasar penswastaan ini telah berjalan lebih dari 20 tahun. Porak peranda hasil dari dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung 'menipu' untuk membuat duit. Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang 'tidak bermutu' tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar. Jika tidak ada duit maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.

Lihat pula berapa banyak jalan-jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan harga saban tahun. Talipon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat swasta ini.

Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung – keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Bila syarikat ini di swastakan bila ada untung maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini. Ini bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.

Minggu lalu Najib Razak telah cuba melakukan rompakan di siang hari. Najib Razak sedang mula membuat jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby adalah kroni pertama Najib Razak. Jika di selidik dan di halusi maka pasti akan kita ketemui bahawa Najib Razak dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan dalam syarikat Sime Darby ini. Atau telah ada 'persetujuan' yang syarikat Sime Darby ini akan memperkukuhkan kedudukan Najib dari segi sokongan politik dan kewangan.

Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara. Ini telah di persetujui oleh Najib Razak. Najib Razak sendiri membuat kenyataan - DIA TIDAK AKAN MENGHALANG NIAT SIME DARBY.

Lihat dengan jahat dan licik Najib Razak telah 'membocorkan' berita rancangan rompakan ini sesudah perlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Ini niat jahat.

Najib Razak tidak mahu projek rompakan IJN ini dibicangkan di parlimen. Pasti perancangan rompakan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap. Secara sulit pasti ada 'deal' yang telah dibuat. Kenapa projek rompakan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib besetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu di warwarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?

Semua rompakan penswastaan di buat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan. Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang di janjikan.

Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengkayakan kroni dan kaum kerabat. Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai dari kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.

Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran. Selagai mereka berkuasa rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan –hentikan dasar ini dan mereka kita nyahkan dari tampok kuasa.

Hishamuddin Rais

Monday, December 22, 2008

Makan Malam bersama Menteri Besar Perak



Sila hubungi 013-5305237 untuk tempahan berharga RM30.00 sahaja.

Wednesday, December 3, 2008

Program khatan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat berjaya

Majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat berjalan dengan lancar dan dihadiri ramai terutamanya ibubapa kanak-kanak yang mengambil bahagian.

Seramai 28 orang kanak-kanak menyertai program yang dirasmikan oleh YB Hj Anuar Bin Sudin, Adun Changkat Jong. Turut hadir adalah YB Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Dr Khairudin daripada Poliklinik Taqwa telah menyempurnakan majlis dengan menjalankan khatan keatas 6 orang pada malam majlis berlangsung manakala selebihnya dikhatankan keesokan harinya.

Penganjur majlis yang diketuai oleh Ketua Cawangan Pas Desa Aman, Sdr Anuar Bin Ibrahim mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menjayakan program tersebut.