Wednesday, September 30, 2015

Salam Aidil Adha 1436H

Khamis 24 Sept 2015 - Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sg Rapat telah menganjurkan majlis ibadah korban di Taman Lapangan Jaya. Sebanyak 3 ekor lembu dikorbankan pada majlis tersebut. YB Radzi Zainon turut serta dalam majlis tersebut dan menyampaikan daging korban tersebut kepada penduduk setempat dan individu yang layak menerimanya. Hadir sama, Pengerusi Penduduk Taman Lapangan Jaya dan Ketua Pemuda PAS Gopeng.






Monday, September 21, 2015

Menziarahi mendiang Datin Seri Leong Wan Chin di Jalan Gopeng (Taiko Groups)

18 Sept 2015 (Jumaat) - YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menziarahi mendiang Datin Seri Leong Wan Chin ibu kepada Tan Sri Dato' Seri Lee Oi Hian (Taiko Groups of Companies) di kediaman beliau di Jalan Gopeng.



Kampung Baru MTD, Batu Gajah

17 Sept 2015 (Khamis) - YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menyantuni masyarakat Cina di Kampung Baru MTD, Batu Gajah serta telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa penduduk di sana. Di kesempatan itu juga YB Radzi telah melawat kawasan lanskap yang diubahsuai oleh penduduk setempat.





Santai Sarapan bersama YB Radzi Zainon

17 Sept 2015 (Khamis) - Pusat Khidmat Masyarakat Batu Gajah telah menganjurkan program Santai Sarapan bersama YB Radzi Zainon di Pasar Awam Batu Gajah. Program bermula seawal jam 9.00 pagi. Orang ramai bersarapan pagi bersama YB Radzi Zainon sambil meminta khidmat nasihat daripada YB Radzi. Sarapan pagi ini telah disumbangkan oleh Lajnah Kebajikan PAS Batu Gajah. Antara menu yang disajikan ialah nasi lemak daun pisang, char kuew teow, kuih-muih serta minuman. Hadir sama, TYDP PAS Batu Gajah, Tuan Haji Zainuddin serta Dewan Muslimat Pengkalan Pegoh. Program berakhir sekitar jam 11.00 pagi.





Tuesday, September 15, 2015

Ziarah pesakit di KPJ Ipoh

15 Sept 2015 (Selasa) - YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menziarahi kakak kepada Sdr. Anuar Ibrahim di wad HDU KPJ Ipoh. Alhamdulillah, kesihatan beliau bertambah pulih. Hadir sama, Mejar (B) Yakub Yasin.



Monday, September 14, 2015

Lawatan ke Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA)

Isnin 14 Sept 2015 - YB Radzi Zainon telah mengadakan lawatan ke Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. Pelbagai perkara dibincangkan dengan pihak DCA yang diwakili oleh Pengurus DCA, En. Jamaluddin. YB Radzi juga merupakan JK MMK Pengangkutan Awam Negeri Perak. Hadir sama, Pengurus Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) En. Mohd Ali. Lawatan diakhiri dengan meninjau Menara Kawalan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

YB Radzi berbincang dengan Pengurus DCA dan Pengurus MAHB

YB Radzi dibawa meninjau menara kawalan


Thursday, September 10, 2015

Ziarah Kematian di Kg Ara Payong

9 Sept 2015 (Rabu) - YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menziarahi Puan Azizah yang telah kematian suami Allahyarham Pak Hassan pada 7 Sept 2015 yang lalu. Puan Azizah lebih dikenali sebagai bonda mengusahakan warung makanan di Kampung Ara Payong. Seterusnya, YB Radzi Zainon menziarahi satu lagi kematian di Rumah Orang-Orang Tua Kampung Ara Payong iaitu Allahyarham Syed Hashim bin Syed Dani. YB Radzi juga sempat menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Syed Hashim. Turut hadir dalam ziarah tersebut, Sdr Rosdi (S/U PAS Batu Gajah). Al-Fatihah.

Ziarah Puan Azizah (Bonda)


YB Radzi di Surau Kg Ara Payong

Wednesday, September 9, 2015

Ucapan Perbahasan YB Radzi Zainon di Persidangan Ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke 13

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera. Sidang dewan mudah-mudahan mendapat kerahmatan Allah SWT. Bismillahirahmanirrahim. Terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua atas peluang yang diberikan kepada saya bagi membahaskan Rancangan Pembangunan 5 tahun negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia ke 11 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada 18 Ogos 2015 yang lalu. Bagi menyokong dan memperkukuhkan teras Rancangan Malaysia ke 11 pada Perkara 3 dan Perkara 6 yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi.

Saya melihat apabila kita bergerak untuk mengikuti lunas-lunas yang berasaskan kepada agama, merujuk kepada sumber yang paling utama daripada Al-Quran dan sunah Nabi SAW, maka saya amat bersetuju apabila banyak program-program utama yang telah disambut oleh kerajaan negeri Perak bagi menjadikan negeri ini sebagai tempat berforum, tempat berdiskusi dan tempat berwacana. Antaranya yang telah dilakukan pada 13 Ogos 2015 yang lalu iaitu Seminar Pemikiran Imam Badiuzzaman Said Nursi dan kemudiannya pada 17 Ogos 2015 berkaitan Wacana Indeks Syariah Malaysia ke arah menjadikan Perak sebagai negeri yang baik.

Maka dalam hal penambahbaikan ini, asas-asas atau pun teras yang bersandarkan kepada rujukan yang saya sebutkan tadi iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW bagi melahirkan negeri yang baik ini setidak-tidaknya empat kumpulan manusia yang disebutkan dalam kedua-dua sumber tadi perlu ada dan perlu digunapakai akan kelebihan-kelebihan mereka itu. Yang pertama sekali, nasihat atau pun petunjuk daripada para ulama atau pun ilmuan Islam. Yang kedua, memastikan berlaku keadilan dalam pemerintahan. Yang ketiga, nasihat daripada ahli-ahli ikhtisas atau pun ahli-ahli profesional dan keempat, tidak kita lupa doa daripada para Abidin atau pun ahli-ahli ibadah atau pun orang-orang yang soleh. Sekiranya perak berani menyambut perbincangan Wacana Indeks Syariah Malaysia yang telah dilaksanakan, maka saya mencadangkan agar menjadikan bumi Perak ini setidak-tidaknya pada Wawasan 2020 berada di kemuncak pengkajian, penambahbaikan dan Insha Allah perlaksanaan Indeks Syariah Malaysia ini dapat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai peneraju model tadbir urus Islam yang pertama di Malaysia berlandaskan konsep Maqasid Syariah.

Dato' Timb. Yang Dipertua, dalam prisip atau pun maqasid syariah ini kita lihat tiga kelompok yang terlibat di mana ahli-ahli politik sama ada ahli Parlimen atau ADUN merupakan golongan penggubal dasar. Yang kedua, para pegawai agensi kerajaan merupakan golongan pelaksana dan juga mereka yang berada dalam dewan yang mulia ini. Namun yang akan kita titik beratkan ialah yang menerima kesan daripada semua-semua dasar kerajaan sama ada dasar yang baik atau pun dasar yang tidak baik, betul atau pun tidak betul, lurus atau pun bengkok adalah penerima manfaat daripada individu atau pun masyarakat yang berada di luar daripada dewan yang mulia ini. Oleh itu, yang saya sebutkan tadi untuk menggubal dasar-dasar yang baik, undang-undang yang baik, pendekatan yang baik maka disanalah kerajaan negeri memerlukan nasihat dan petunjuk daripada para ulama dan ilmuan Islam begitu juga nasihat ahli ikhtisas atau pun ahli profesional. Antaranya dalam memelihara alam semula jadi yang banyak dibincangkan dan di sentuh oleh ayahanda YB Chenderoh iaitu ribut yang tidak pernah berlaku di kawasan Chenderoh tetapi berlaku di Kampung Seterus, Kati, Liman Kati dan sebagainya telah menyebabkan sebanyak 313 buah rumah rosak. Di Bagan Serai seperti yang disebutkan oleh Ulu Kinta, lebih 200 rumah dan banyak lagi kawasan-kawasan lain menerima kesan daripada salah urus atau salah tadbir atau pun salah mendengar nasihat daripada ahli ikhtisas / profesional. Kalau mereka menyatakan jangan tebang hutan kawasan ini maka kerajaan negeri kena dengar akan nasihat-nasihat ini. Inilah contoh-contoh terdekat yang saya berikan dalam dewan ini.

Dato' Timb. Yang Dipertua, ke arah menjadikan rakyat sebagai keutamaan dan mereka yang saya sebagai penerima manfaat langsung dan tidak langsung sama ada dalam konteks individu ataupun masyarakat umum secara keseluruhannya, maka pentas politik yang kita diami ini haruslah faham bersungguh-sungguh. Politik bukanlah sebagai suatu matlamat tetapi politik adalah alat untuk melaksanakan suruhan dan titah perintah Tuhan. Dalam konteks pemerintahan Islam, maka politik adalah alat untuk melaksanakan Islam secara keseluruhannya ataupun secara menyeluruh dan disanalah kita akan lihat keluasan Islam sebagai agama rahmat dan ini berbetulan dengan apa yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Quran berkaitan dengan berkat dan rahmat kedatangan Nabi SAW dan tidak diutuskan Nabi SAW melainkan untuk memberikan rahmat kepada sekalian alam.

Dato' Timb. Yang Dipertua, satu perkara yang juga ditekankan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita lihat dalam soal pendidikan misalnya penekanan harus diberikan secara menyeluruh. Alhamdulillah, negeri Perak dikira antara negeri yang rancak membangunkan sekolah-sekolah Tahfiz dan  Maahad-Maahad Tahfiz. Alhamdulillah, lima lagi tempat yang bakal menampung 1500 pelajar.

Sesuai dengan dapatan ataupun resolusi dari Seminar Pemikiran Imam Badiuzzaman Said Nursi yang diadakan di bangunan kerajaan negeri yang diadakan 13 Ogos lalu, saya cadangkan agar Jabatan Agama Islam Perak serta Jabatan Mufti Negeri Perak dapat mengguna pakai modul pendidikan Al-Quran yang diasaskan oleh Imam Badiuzzaman Said Nursi yang disebut sebagai Risalah Al-Nur dan ternyata model yang telah dikeluarkan antaranya, Almarhum Ahmad Amar yang telah meninggal dunia di bumi Turki dalam umur 22 tahun.

Kita melihat dalam umur 22 tahun, beliau dapat menjana diri menjadi pendakwah yang sangat penting bahkan apabila saya berbicara dan bersembang dengan ayahandanya sendiri, Tuan Haji Ahmad Azam beliau menyebut saya tidak pernah menyangka seorang pemuda iaitu anak saya ini sewaktu umur 22 tahun boleh menasihati seorang bapa sedangkan kata bapanya di waktu umur dah 60an iaitu pada umur warga emas, abah hendak berhenti daripada usaha-usaha dakwah, tidak mahu cergas lagi, tidak mahu ke sana ke mari lagi, namum dinasihati oleh keluaran pendidikan risalah An-Nur yang diasaskan oleh Imam Badiuzzaman Said Nursi.

Katanya kepada ayahandanya, Wahai ayah dunia bukanlah tempat untuk berehat....tempat berehat yang "abadan abada", kekal untuk selama-lamanya adalah di dalam syurga Allah SWT. Sebab itu sidang dewan yang dihormati sekalian, mungkin kita tidak boleh menjadi pendakwah seperti beliau, kita tidak boleh menjadi seorang mufti, kita tidak boleh menjadi ahli agama atau pun agamawan tetapi kita adalah wakil-wakil rakyat, kita adalah ADUN-ADUN, kita adalah pengarah - pengarah Jabatan Kerajaan, kita adalah pegawai-pegawai kerajaan namum di sanalah tempat kita mengaut segala keuntungan.

Sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Muhaya, tempat kerjaya kamu adalah ladang pahala. Sebab itu apa yang dirancangkan oleh negeri Perak untuk membangunkan Pusat Pembangunan Modal Insan adalah bertepatan untuk kita terapkan pemikiran Imam Badiuzzaman Said Nursi, bahawa untuk mengaut pahala daripada Allah ini bukan hanya jadi ustaz semata-mata, bukan jadi imam semata-mata, bukan jadi tahfiz semata-mata, wakil rakyat yang berkebajikan kepada rakyat, pengarah yang menguruskan soal rakyat, para pegawai kerajaan yang mendetailkan urusan rakyat, yang mempercepatkan proses-proses tuntutan rakyat, mereka bekerja ke arah memberikan kebajikan, kebaikan kepada rakyat....mereka merupakan pengumpul pahala-pahala yang lebih banyak daripada seorang imam yang mengepalai dalam imam solat. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, sebab itu satu perkara yang juga saya ingin cadangkan kepada Maahad-Maahad Tahfiz, Pengurusan Maahad-Maahad Tahfiz yang berada dalam negeri Perak ini khususnya, disamping mereka menghafaz Al-Quran, penekanan yang serius harus diberikan kepada kemampuan menguasai Bahasa Arab. Kerana mana mungkin seorang yang hafaz 30 juzuk Al-Quran tetapi tidak tahu makna-makna yang mereka baca sedangkan dalam Al-Quran ini terkandung semua khazanah-khazanah ayat.

Sebab itu bagi mereka yang benar-benar menghayati tuntutan Al-Quran tidak sekadar menjadi penghafaz yang baik tetapi dapat memberi kefahaman kepada diri sendiri dan dapat menyampaikan kefahaman yang mereka miliki kepada masyarakat, kepada orang awam dan Insya Allah bila generasi Al-Quran dapat dibentuk semula menggunakan acuan yang diasaskan oleh Imam Badiuzzaman Said Nursi ini melalui risalah An-Nur ini, Insya Allah kita bakal melenyapkan secara gradual, golongan mat rempit, golongan yang tidak mahu bekerja, penganggur, pembuang masa dan golongan-golongan yang mensia-siakan kehidupan mereka kerana berkat kefahaman dan tuntutan yang ada dalam Al-Quran. Begitu juga saya mencadangkan agar penuntut-penuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran ini dapat mengambil seruan yang telah disebut oleh Saidina Umar RA yang menyatakan :

Kami sahabat-sahabat Nabi mengajar sirah Nabi SAW iaitu berkaitan perjalanan hidup sepertimana kami mengajar Al-Quran kepada anak-anak kami, maknanya sirah Nabi, sunnah Nabi ianya adalah beriringan dengan pengajaran Al-Quran.


Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian serta sidang dewan. Saya turut menyokong apa yang juga disebut oleh Manjoi tadi. Betapa kita perlu mengangkat industri halal dalam negeri Perak dan usahawan-usahawan yang bakal dilahirkan atau pun yang telah dilahirkan dalam industri ini sebenarnya sangat memainkan peranan yang sangat penting ke arah melahirkan modal insan yang benar-benar berakhlak kerana ini dibuktikan di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Baqarah ayat 168. Firman Allah dalam Al-Quran merujuk kepada :


Wahai manusia, makanlah daripada apa yang Allah jadikan dibumi ini daripada perkara yang halalan toyyiban.


Makanan halal ini standard. Bukan standard untuk Islam semata-mata tapi world standard melebihi ISO 14000, ISO 12000 atau apa-apa ISO sekalipun kerana ia merupakan satu standard universal yang telah diletakkan di dalam Al-Quran. " Wahai manusia, makanlah daripada apa yang Allah jadikan di atas muka bumi ini daripada perkara yang halal lagi baik. Jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan." kerana orang yang makan benda yang haram, yang tidak baik termasuklah rasuah, sumber daripada salah guna kuasa, loteri judi dan apa sahaja merupakan perkara-perkara yang haram maka mereka adalah golongan pengikut-pengikut ajaran syaitan.


Ulama-ulama menegaskan agar benda-benda yang haram yang tidak baik ini jangan sekali-kali dimasukkan dalam tubuh badan untuk menjadi darah daging akhirnya kerana disebutkan oleh Saad bin Abi Wakas yang bertanya kepada Nabi SAW :

Wahai Nabi, bagaimana doa aku boleh dimakbulkan Allah. Maka baginda Nabi SAW bangun lalu menjawab : Wahai Saad, jagalah makananmu. Kalau seandainya kamu memakan seketul makanan yang haram maka akan ditolak doamu selama 40 hari.

Maka sebab itu marilah kita sama-sama berhati-hati dan saya mencadangkan bersungguh-sungguh dan menyokong apa yang disebutkan oleh Manjoi, mesti ada usaha untuk melipatgandakan ke arah menubuhkan membangunkan perindustrian halal negeri Perak dan kita Insya Allah akan menjadi Halal Hub yang paling disegani dalam bumi Malaysia ini. Sidang dewan yang dihormati sekalian, akhir sekali dalam tempoh masa yang ada ini saya juga ingin membangkitkan dua perkara yang berkaitan dengan keciciran dalam projek-projek dalam Rancangan Malaysia ke 10 sebelum ini.

Yang pertama sekali, menaik taraf Jalan Simpang Pulai ke Lahat yang telah dibentangkan kos sebanyak RM 65 juta termasuk menggantikan jambatan berdekatan Sekolah Kebangsaan Pegoh yang sangat uzur dan sangat merbahaya dan yang kedua agar kerajaan negeri juga mengambil perhatian isu perumahan rakyat dan kakitangan awam yang telah dibangunkan di Taman Kinta Perdana bermula pada tahun 2002 lagi melalui UDA, maka saya minta sangat-sangat kerajaan negeri Perak menyemak semula statusnya itu kerana kawasan ini terbengkalai, banyak sisa toksik, banyak longgokan sampah dan sebagainya. Harus diambil peranan semula bagi memberikan manfaat kepada rakyat dan kakitangan awam dalam perkara ini. Sekian daripada saya, terima kasih Dato' Timbalan Yang Dipertua. Assalamualaikum WBT.



Friday, September 4, 2015

Ziarah Kg Ara Payong

3 Sept 2015 (Khamis) - YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menziarahi Puan Saonah serta menyampaikan bantuan kepada beliau di Kampung Ara Payung. 



Silaturrahim

3 Sept 2015 (Khamis) - Bersempena minggu peperiksaan UPSR yang bakal menjelang tiba pada 8 Sept 2015 ini, YB Radzi Zainon telah menziarahi beberapa sekolah rendah di sekitar Batu Gajah. Antaranya, SK Seri Jaya, SK Convent dan SK Sultan Yussuf Shah bagi menyampaikan sedikit sumbangan alat tulis kepada calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan UPSR 2015. Hadir sama, Timbalan Yang Di Pertua PAS Batu Gajah, Tuan Haji Zainuddin serta Dewan Muslimat PAS Batu Gajah.






Wednesday, September 2, 2015

Tuesday, September 1, 2015

BERSIH 4 tamat, semua selamat

Selepas berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti selama 34 jam, peserta BERSIH 4 bersurai dengan aman sejurus selepas jam 12 tengah malam.
Ia selaras dengan rancangan penganjur yang menamatkan perhimpunan kali ini pada jam 11.59 malam.
Sebelum bersurai, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah melaungkan kalimah "Merdeka sebanyak 10 kali, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58 hari ini.
Kecuali beberapa kejadian kecil dan terpencil, keseluruhan BERSIH 4 adalah terkawal, malah turut mendapat pujian Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa kerana berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa tidak masuk ke Dataran Merdeka.
BERSIH kali ini juga berbeza berbanding perhimpunan lain kerana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat dua kemunculan singkat, masing-masing pada Jumaat dan Sabtu.
Bagaimanapun, di sebalik rasa teruja sebahagian peserta terhadap Dr Mahathir, sesetengah yang lain memandang sinis kehadiran beliau dan mengaitkannya dengan cara bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu mentadbir kerajaan sebelum ini.
Sumber : MalaysiaKini
Image result for bersih 4.0Image result for bersih 4.0

Sambutan Hari Kemerdekaan ke 58

31 Ogos 2015 (Isnin) - Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan ke 58 di Dewan Bandaran Ipoh. YB Radzi Zainon telah meluangkan masa menghadiri sambutan tersebut. Turut hadir, YB Ust. Zawawi dan YB Husin Din. DYMM Sultan Perak berkenan hadir meraikan sambutan hari kemerdekaan negara yang bermula seawal jam 7.30 pagi. Tuanku Sultan Perak juga berkenan menyampaikan beberapa hadiah pertandingan yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan negara kita.