Monday, February 16, 2015

Melawat agensi kerajaan

Isnin 16 Februari 2015 - YB Radzi Zainon bersama petugas Pusat Khidmat Masyarakat serta PAS Kawasan Batu Gajah telah menyantuni penjawat-penjawat awam serta mengagihkan buah limau sempena Tahun Baru Cina di Batu Gajah. 


Antara agensi kerajaan yang dilawati oleh YB Radzi Zainon ialah Balai Polis Daerah Batu Gajah, JKR Batu Gajah, Hospital Besar Batu Gajah, Majlis Daerah Batu Gajah dan Pejabat Tanah Batu Gajah. Para penjawat awam begitu mesra menyambut ketibaan YB Radzi Zainon dan rombongan. YB Radzi mengucapkan terima kasih di atas sambutan yang diberikan oleh penjawat awam di daerah Batu Gajah.

Pasar Batu Gajah



Isnin 16 Februari 2015 - YB Radzi bin Zainon bersama-sama dengan YB Sivakumar (Ahli Parlimen Batu Gajah), YB Paul Yong (ADUN Tronoh) serta wakil Ahli Parlimen Gopeng Sdr. Ahmad Tarmizi (Timbalan Ketua Cabang PKR Gopeng) telah turun padang mengedarkan buletin Warkah Rakyat terbaru serta mengagihkan buah limau sempena Tahun Baru Cina di Pasar Awam Batu Gajah bermula jam 9.00 pagi. Program ini merupakan anjuran bersama PAS Kawasan Batu Gajah. Disamping itu, YB Radzi dan rakan-rakan sejawat mendengar masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di pasar tersebut antaranya, lampu tandas awam di pasar tersebut tidak berfungsi serta kebanyakan penutup longkang @ lubang telah dicuri. Perkara ini masih belum diambil tindakan oleh Majlis Daerah Batu Gajah.





Buatmu Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz

Innalillahi wainna ilaihi rajiun..
Dimuliakan guruku ketika hidupnya
Didendangkan wadahnya utk kita
Di usia muda membenih jasa
Dititipkan ilmu utk kita

Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Diangkat darjat ketika matinya
Perginya dia di hari mulia
Waktu malam dicabut nyawanya
Di rumah buruk dimamah usia

Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Padamu Ya Rabbi dia kembali
Hidupnya di jalanMu sehingga mati
Hanyalah Engkau yg kekal abadi
Limpahkanlah rahmatMu Rabbul Izzati

Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Hilanglah pemimpin juga guru
Rugilah yg tidak mengenalmu
Jika benar segala tohmahan atasmu
Takkan sebegini hebat Allah mengangkat darjatmu

Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Buat tok guru yg aku kasihi
Menangis aku di malam sunyi
Bukan menolak takdir Ilahi
Kehilanganmu yg aku tangisi

Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Buatmu Nik Abdul Aziz Nik Mat
Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Buatmu pemimpin negeriku
Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Buatmu tok guruku
Innalillahi wainna ilaihi rajiun
Buatmu ulama pewaris Nabiku...


Nukilan : Imam Zul Tafsiro

Perginya seorang pejuang Islam Almarhum Dato' Bentara Diraja Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

13 Februari 2015 - Masjid Pulau Melaka @  Halaman Rumah Almarhum Dato' Bentara Diraja Tok Guru Nik Abdul Aziz Yang Kita Kasihi

Syukur, alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat jamaah dari Gopeng dan seluruh Perak telah ramai yang sampai untuk menziarahi Tuan Guru dan Murobbi Ummah yang telah dijemput ke hadrat Ilahi tepat jam 9.40 semalam. Inilah peluang kali terakhir kami untuk menatap wajah seorang pemimpin kerohanian yang hebat dan pemimpin PAS yang benar-benar boleh dijadikan contoh dan suri teladan.

PAS dan seluruh rakyat Malaysia benar-benar kehilangan seorang tokoh pemimpin bertaraf ulama' yang telah menumpahkan baktinya sejak sekian lama demi agama tercinta dan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Kehidupannya yang sangat sederhana apatah lagi dapat terus dikekalkan setelah menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan selama hampir 23 tahun telah menjadi bahan bualan di mana-mana bagi semua rakyat tidak mengira bangsa.

Moga Allah mencucuri rahmat dan menumpahkan segala kasih sayangNya kepada insan istimewa ini. Mudah- mudahan akan bersemadilah dengan tenang dan bahagia di alam sana bertemankan hamba-hambaNya yang soleh, di sisi Sang Penciptanya. Amin.

Salam Perpisahan Buat Tuan Guru

Thursday, February 12, 2015

YB Radzi di Desa Aman

Khamis 12 Februari 2015 - YB Radzi bin Zainon telah turun padang ke Taman Desa Aman dan Kg Pengkalan Pegoh bagi menyantuni masyarakat khususnya para peniaga runcit dan gerai makanan sekitarnya. Beliau juga turut mengedarkan risalah terbaru keluaran Pusat Khidmat Masyarakat ( PKM ) ADUN Sg Rapat atau dikenali sebagai Warkah Rakyat untuk tatapan umum yang memaparkan segala aktiviti PKM sekitar DUN Sg Rapat.


YB Radzi meluangkan masa sekitar tiga jam di PKM Taman Desa Aman untuk bertemu dan bersama rakyat bagi memberi peluang kepada mereka bersemuka dengannya secara langsung dan mengutarakan apa jua masalah yang dihadapi. 

Beliau telah menetapkan jadual untuk turun padang ke PKM Taman Desa Aman pada setiap Khamis minggu ke-2 dan ke-4 setiap bulan antara jam 10 hingga 1.00 tengahari.



Pelancaran Pelan Tindakan Strategik PEMADAM Negeri Perak

YB Radzi bin Zainon,  turut menganggotai Jawatankuasa MMK (Pencegahan Jenayah) Negeri Perak dijemput ke Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik PEMADAM Negeri Perak yang berlangsung pada 11 Februari 2015 di Dewan Banquet, Bangunan SUK. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir merangkap Penaung PEMADAM Negeri Perak. Turut hadir Dato' Johari Baharom, Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan dan YB. Dato' Hj. Samsudin Abu Hassan, Pengerusi PEMADAM Negeri Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa MMK (Pencegahan Jenayah) Negeri Perak. Di samping itu, Ketua Polis Negeri, para pegawai kanan kerajaan negeri, semua pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung seluruh Perak turut dijemput hadir di samping Persatuan Pengasih dan para pelajar sekolah. Pelan strategik ini adalah untuk tempoh lima tahun, bermula tahun 2015 hingga 2020 dengan tema " Ke Arah Komuniti Perak Bebas Dadah". 
 

Sebelum terhasilnya Pelan Tindakan Strategik PEMADAM yang komprehensif, inklusif dan holistik ini, ADUN Sg. Rapat juga terlibat aktif dalam memberikan pandangan dan buah fikiran dalam sesi percambahan minda yang telah diadakan selama dua hari berturut-turut pada 1 dan 2 Oktober 2014 yang lalu bertempat di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh bersama-sama 60 peserta yang lain termasuklah AADK, PDRM, JPN, JBS, Pejabat Daerah, NGO, persatuan sukarela serta pemimpin politik dari pihak kerajaan dan pembangkang. Enam bidang fokus yang diberi keutamaan dalam Pelan Tindakan Strategik PEMADAM ini ialah Pelajar Bebas Dadah, Pekerja Bebas Dadah, Keluarga Bebas Dadah, Komuniti Bebas Dadah, Pemutihan Kawasan 'Hotspot' dan Pembanterasan Dadah dan Jenayah pada Peringkat Mukim.














SOLIDARITI KEPADA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DAN HARAPAN KEPADA ANAK MUDA

" Wahai anak muda,....jika 1 Anwar dipenjarakan hari ini, ribuan "Anwar baru" akan muncul untuk menyambung perjuangan rakyat, dan kita tidak boleh berhenti di sini,. harus terus maju ke hadapan untuk mengubah nasib negara dan membela nasib rakyat ! Beliau telah berkorban dan dianiayai lebih 16 tahun, tidak ada setitik peluhpun yang tidak bermakna dalam perjuanganya, maka kita yang baru merasa sedikit panas pada pagi ini harus terus ke depan menyambung hayat perjuangannya."





" Wahai anak muda, lihat dan pandanglah wajah pakcik-pakcik dan mancik-makcik yang hadir bersama kita pada hari ini, mereka yang telah dimamah usia dan uzur sanggup datang dari jauh dan dekat demi mempertahankan sebuah perjuangan rakyat. Kita tidak mahu negara ini terus dirundung malang akibat dipimpin oleh orang-orang yang tidak amanah, perasuah, mementingkan diri, keluarga dan suku-sakat serta sanggup menggadaikan negara."

" Negara kita berada dalam situasi yang cukup bahaya dan amat terancam ketika ini, maka tugas kita semualah khususnya anak-anak muda dari semua bangsa untuk terus mara dan berjuang membetulkan keadaan yang kian makin parah demi negara yang kita cintai. "

" Yakinlah, masa depan negara terletak di tangan saudara-saudara, wahai orang muda. Dan dengan semangat perjuangan dan pengorbanan tanpa jemu serta keizinan daripada Allah, insya Allah kita pasti akan melihat perubahan nasib rakyat dan masa depan negara yang lebih terjamin. Ayuh, terus maju ke hadapan dan yakinlah dengan Firman Allah dalam Surah Ar Ra'd yang bermaksud :

" Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mengubah nasib (apa yang ada) pada sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubah nasib (apa yang ada) pada diri mereka sendiri ".

Program Kuliah Dhuha di RPT Pengkalan Pegoh

YB Radzi bin Zainon menghadiri Program Kuliah Dhuha bersama-sama Dr. Zahazan Mohammed disamping beramah mesra dengan para jamaah di Surau Nurul Iman, RPT Pengkalan Pegoh. Program ini berlangsung pada 8 Februari 2015.





Monday, February 9, 2015

PAS seru penyokong berhimpun di Putrajaya 10 Feb

KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa anggota PAS dan penyokong Pakatan Rakyat sama-sama berhimpun di hadapan Kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya Selasa ini untuk bersolidariti kepada Saudara Anwar Ibrahim.
“Saya akan hadir, saya seru ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat untuk sama-sama hadir bagi memberi sokongan kepada beliau pada 10 Febuari ini,” katanya ketika dihubungi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kes Fitnah II yang dikenakan terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak mempunyai merit dan seharusnya tidak perlu dibicarakan di mahkamah sejak awal.
“Pendakwaan ini tidak wajar. Cukup jelas ia suatu yang tidak ada merit untuk didakwa. Laporan perubatan jelas membuktikannya,” kata beliau.
Malah menurut Ketua Whip PAS di Parlimen ini, jika mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, ia akan menambahkan lagi krisis ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.
“Saya penuh yakin Anwar akan dibebaskan, kes ini tiada merit dan hakim yang berfikiran waras sudah tentu akan menolak kes ini,” kata Mahfuz.

PR kekal bersatu & fokus atasi kemelut kaum & ekonomi

KUALA LUMPUR 8 FEBRUARI : Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini bersetuju untuk menumpukan tindakan bagi mengatasi masalah perkauman dan ekonomi yang meruncing di negara ini.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua yang dihubungi selesai mesyuarat di ibu pejabat PAS memberitahu dua masalah ini menjadi topik perbincangan dan sangat memerlukan komitmen ahli gabungan dalam Pakatan Rakyat untuk mengatasinya.
Menyifatkan mesyuarat hari ini sebagai berjaya dalam suasana musyawarah dan Pakatan Rakyat kembali bersetuju untuk kembali kepada landasan mesyuarat dan dasar bersama yang dipersetujui sebelum ini dalam memperjuangkan hak dan agenda rakyat.
Turut dipersetujui dalam mesyuarat tadi ialah mengesa kerajaan mengadakan perjumpaan dengan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) bagi membincangkan masalsh yang dibangkitkan diatas.
“Sudah tiba masanya, BN, PR dan NGO berlapang dada untuk bertemu bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kemelut ekonomi yang meruncing dan masalah perkauman yang makin melebar,” katanya.
Tian juga memaklumkan, PR juga tetap menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim yang berdepan dengan hukuman zalim dalam kes fitnah 10 Feb ini.

Intipati penuh mesyuarat Pakatan Rakyat 8 Februari 2015

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah bermesyuarat hari ini di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengesahkan komitmen kepada perjuangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat.
Mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dibuat berteraskan prinsip muafakat bersama. Atas semangat saling menghormati, keputusan yang dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan Rakyat selama ini.
Pun begitu, Pakatan Rakyat juga akan terus meraikan perbezaan pendapat di antara parti-parti Pakatan Rakyat. Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu-isu Enakmen Jenayah Syariah 2 dan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi memperbaharui dokongan para penyokong, kita bersetuju agar Konvensyen Pakatan Rakyat dianjurkan pada 10 Mei 2015.
Pakatan Rakyat mendokong semua langkah mewujudkan permuafakatan membabitkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan bagi mencari penyelesaian berkaitan isu-isu semasa terutamanya ekonomi dan ketegangan hubungan kaum.
Menjelang hari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Fitnah II, ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan. Kami menegaskan bahawa perbicaraan ini adalah perbicaraan bermotifkan politik. Majlis Pimpinan juga bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari 2015.

TG Hj Abdul Hadi Awang
Presiden​ PAS

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP



Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak ( Pengangkutan Awam )

Jumaat 6 Februari 2015 - YB Radzi bin Zainon bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Perak yang pertama bagi tahun 2015. Mesyuarat telah berlangsung di Bangunan SUK Negeri Perak yang telah di pengerusikan oleh YB Dato' Mah Hang Soon selaku Exco Kerajaan Negeri Perak.

Antara agenda mesyuarat adalah sesi taklimat daripada SPAD mengenai Stage Bus Services Tranformation yang mana di dalam taklimat tersebut menyatakan SPAD akan bekerjasama denga kerajaan negeri untuk menaik taraf perkhidmatan awam terutamanya bas di Perak. Ianya akan dimulakan berperingkat-peringkat bermula Zon Bandaraya Ipoh dan seterusnya Perak Tengah, Batu Gajah dan Manjung. Perbincangan masih dibuat dengan syarikat-syarikat bas yang berkaitan.




Antara lain yang dibincangkan adalah mengenai ETS yang telah disampaikan oleh wakil KTMB yang mana perkhidmatan ETS ke utara (Ipoh-Padang Besar) akan bermula pada 1 Julai 2015. Buat masa ini KTMB telah memperoleh satu gerabak dan akan ditambah sebanyak 3 gerabak pada bulan September 2015, 2 gerabak masing-masing pada bulan November, Disember 2015 dan Januari 2016 menjadikan 10 gerabak secara keseluruhan.

Di dalam mesyuarat tersebut, YB Radzi juga membangkitkan isu parkir di KTM Batu Gajah yang telah mengenakan caj bayaran parkir walaupun hanya untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Hal ini telah diambil maklum oleh Pegawai Kanan KTMB, Encik Rasul dan akan diambil tindakan segera.


Nota :

YB Radzi bin Zainon merupakan ahli jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak ( Pengangkutan Awam )

Friday, February 6, 2015

Tazkirah Maghrib di Surau Al-Hidayah, Kinta Perdana

Selasa 03 Febuari 2015 - Program tazkirah Maghrib dan dialog dengan penduduk setempat di Surau Al-Hidayah, Kinta Perdana, Lahat. Program ini merupakan kali kedua dijalankan di surau tersebut selepas program yang hampir sama tiga bulan yang lalu. Program dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, diikuti tazkirah, solat Isya' berjamaah dan diakhiri dengan majlis dialog sehingga jam 11.15 malam. Turut hadir ialah Pengerusi Surau Al-Hidayah, Lt. Kolonel (B) Hj. Suhaimi bin Hj. Safawi dan Timbalannya, Mej.(B) Idrus Mat Isa.




Thursday, February 5, 2015

Kegagalan kerajaan persekutuan BN


Kenyataan Media Bersama Oleh Pimpinan Ahli Majlis Pakatan Rakyat Perak





PENDIRIAN PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK TERHADAP SITUASI POLITIK TERKINI PAKATAN RAKYAT

Adalah kami, ahli-ahli Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Perak yang mewakili PAS, DAP dan PKR dalam mesyuarat bulanan pada Jumaat, 23 Januari 2015, telah dengan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan beberapa pandangan kami berdasarkan penelitian dan tindakbalas situasi politik terkini.

Bahawa majoriti rakyat sedang mengalami suasana kekecewaan dengan prestasi dan prospek muram ekonomi negara di bawah pentadbiran UMNO/Barisan Nasional.

Bahawa majoriti rakyat sedang melalui suasana gelisah dan ketidakpastian tentang masa depan politik negara yang bergelut dengan permainan politik perkauman ekstrim, masalah sosial, pengangguran dan rasuah di kalangan elit pemerintahan negara.

Bahawa dilihat satu suasana kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pemimpin PM Datuk Seri Najib Razak khususnya di kalangan tokoh-tokoh perniagaan, pemimpin NGO, anak-anak muda, kumpulan madani (civil society) dan sebahagian pemimpin UMNO. Rakyat sangat mengharapkan satu gerakan perubahan poilitik berwawasan, beretika dan budiman untuk memimpin negara ini keluar daripada kemelut yang tidak berkesudahan.

Bahawa majoriti rakyat sedang melalui fasa ‘apathy’ politik dan enggan berpartisipasi secara aktif dalam aktiviti-aktiviti politik seperti yang pernah dilihat dalam era 2008-2013. Ini adalah petunjuk tahap kekecewaan mereka terhadap UMNO/BN dan juga kepada Pakatan Rakyat.
Maka, di atas observasi-observasi sedemikian, kami yang mewakili ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR Negeri Perak, memohon dan merayu agar beberapa tindakan positif dan korektif berikut dapat dilaksanakan dengan segera dan inklusif :

Menghentikan dengan serta-merta sebarang kenyataan-kenyataan media dan tindakan cabar-mencabar yang merenggangkan persefahaman di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Sekretariat Media Pakatan Rakyat Pusat perlu diwujudkan untuk menyelaraskan sebarang kenyataan-kenyataan media penting yang menyentuh mengenai pendirian bersama Pakatan Rakyat.

Seluruh pemimpin utama Pakatan Rakyat khususnya anggota-anggota Majlis Presiden perlu senantiasa mengadakan konsultasi dalaman terhadap sebarang isu-isu utama yang bersifat kontroversi dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan bersama.

Menuntut supaya Majlis Presiden Pakatan rakyat bermesyuarat segera dan berbincang secara tertutup bagi menyelesaikan pelbagi isu-isu berbangkit. Kami juga memohon supaya Majlis Presiden bermesyuarat secara berjadual dan arahan-arahannya diperturunkan dengan berkesan dan pantas.

Memohon supaya Konvensyen Nasional Pakatan Rakyat diaktifkan semula sebagai satu platform pengukuhan, persefahaman dan solidariti Pakatan Rakyat di semua peringkat.

Kami, Pakatan Rakyat Negeri Perak, mengharapkan agar kita bersama menyatuni aspirasi rakyat yang dahagakan perubahan dan mengimpikan sebuah negara yang Pakatan Rakyat pernah menjanjikan kepada mereka iaitu negara adil, aman, maju, progresif dan berkebajikan.
Kami juga mendoakan semoga Allah memberikan pimpinan Pakatan Rakyat hidayah dan pertolongan ketika rakyat sangat mengharapkan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Kenyataan bersama oleh :

Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Perak

Dr Mohd Nur Manuty
Pengerusi PKR Negeri Perak

Sdr YB Nga Kor Ming
Pengerusi DAP Negeri Perak

Tn Hj Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

02 Februari 2015

Menziarahi kematian di MTD Kampung Baru

Pengerusi DHPP Kawasan Batu Gajah, Encik Dorai Kannu bersama YB Radzi Zainon dan Pegawai Khas YB, Mejar (B) Yakub telah menziarahi kematian salah seorang penduduk masyarakat India di Kampung Baru MTD kerana sakit tua. Menurut anak lelaki mendiang meninggal semalam 4 Februari 2015 ketika berumur 78 tahun. YB Radzi mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mendiang.




YB Radzi Zainon membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama

YB Radzi bin Zainon bersama dengan Pengerusi DHPP Kawasan Batu Gajah, Encik Dorai Kannu menyelesaikan masalah penduduk setempat terutamanya masyarakat bukan Islam di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Ara Payung. Terima kasih diucapkan kepada Encik Dorai yang banyak membantu masyarakat bukan Islam di kawasan Batu Gajah.



                                                         Encik Dorai Kannu duduk kiri



DHPP = Dewan Himpunan Penyokong PAS

Majlis Tahlil dan Doa Selamat serta Jamuan Rakyat di Kampung Muhibbah, Ara Payung, Batu Gajah.

YB Radzi bin Zainon telah menyempurnakan majlis Tahlil dan Doa Selamat serta jamuan rakyat di kediaman Puan Azian bt Abdul Wahab di Kampung Muhibbah, Ara Payung, Batu Gajah bersempena memasuki rumah baru beliau. Rumah tersebut merupakan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). YB Radzi bin Zainon telah membantu Puan Azian untuk mendapatkan rumah tersebut sejak tahun 2011. Alhamdulillah, dengan izin daripada Allah SWT serta hasil daripada bantuan YB Radzi bin Zainon, rumah tersebut telah dapat disiapkan pada tahun 2014. Pihak YB Radzi mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAIPk di atas bantuan rumah tersebut kepada Puan Azian bt Abd Wahab serta beberapa lagi penduduk kampung di sekitar DUN Sungai Rapat. Jazakallah khairan jaza'.





Kelihatan juga, YB Radzi juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat dalam majlis tersebut. Terima kasih diucapkan kepada tuan rumah di atas jemputan tersebut.

Taman Bersatu, Batu Gajah

Khamis 5 Feb 2015 - YB Radzi Zainon pagi tadi bersama Pegawai Khas, Mejar (B) Yakub Haji Yasin serta petugas Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Ara Payung telah berkesempatan meninjau kerja-kerja pembaikan sebuah rumah di Taman Bersatu, Batu Gajah. YB Radzi telah beramah mesra dengan pekerja-pekerja binaan tersebut yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan rumah tersebut.




Wednesday, February 4, 2015

PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: PAS tidak pernah berhasrat untuk keluar dari Pakatan Rakyat, malah akan terus memberi sumbangan serta pandangan bagi memastikan kekuatan kerjasama ini untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata untuk mencapai kemenangan setiap parti perlu bekerjasama dan tidak boleh bersendirian.
"Memang PAS pernah bersendiri sebelum ini sejak dulu dan keadaan sekarang PAS bersama-sama Pakatan Rakyat.

"Dalam keadaan ini kita (PAS) tidak pernah berfikir untk keluar dari Pakatan Rakyat sebaliknya kita mahu memberi komitmen sepenuhnya memastikan kekuatan Pakatan Rakyat untuk pilihan raya akan datang," katanya ketika sesi lawatan di Sin Chew  Media Corporation Berhad semalam.

Tambah beliau, untuk memenangi Putrajaya setiap parti di dalam Pakatan Rakyat perlu bersabar.
"Kita kena bersabar untuk mencapai kemenangan di Putrajaya, apa yang perlu dilakukan kita perlu bersama dalam semua aspek untuk mendapat sokongan semua kaum.

"Berbeza pendapat itu biasa tetapi agenda perjuangan kita sama bagi memastikan hak rakyat dibela serta memenangi Putrajaya," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu Mustafa turut meminta agar rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat tidak membuat kenyataan secara terbuka di mana-mana media kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

"Kita boleh berbincang jika ada sebarang permasalah yang timbul di dalam Pakatan Rakyat, elak dari membuat kenyataan terbuka kerana pelbagai anggapan boleh dilemparkan," ulas beliau.

Turut hadir pada siri lawatan tersebut adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Nasaie Ismail dan Penolong Setiausaha Agung 2 PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Usah Salahkan Peniaga Cina, Atasi Kelemahan dan Kemalasan Kerajaan

1. PAS menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman sosial Facebook yang menyeru seruan boikot kepada perniagaan kaum Cina. Kenyataan sebegini sungguh tidak bertanggungjawab dan berunsurkan perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Sungguh mengecewakan apabila kenyataan sebegini dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang bertaraf menteri kabinet.

2. Adalah tidak wajar jika seruan boikot dibuat kepada peniaga kaum Cina sedangkan masalah harga barang yang tidak turun ini berpunca daripada kegagalan pihak kerajaan sendiri untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula yang menjadi mangsa.

3. PAS menuntut pihak kerajaan sendiri yang menunjukkan contoh tauladan dalam menurunkan harga barang kawalan yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan iaitu harga gula, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak. Seiring dengan itu, tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam wajar diturunkan oleh pihak kerajaan kerana kos penjanaannya sudah turun.

4. Apabila barang kawalan ini diturunkan harga pasti ia dapat meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh sekalian rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang di bawah kawalan mereka. Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan.?

5. Pihak kerajaan perlu bertindak dengan lebih proaktif,agresif dan bersepadu dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010. Akta tersebut bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Peranan Majlis Penasihat Harga yang berfungsi untuk menasihati Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlulah diperkasakan lagi agar penilaian harga barang dapat dibuat mengikut keadaan semasa.

6. PAS turut menyeru agar pihak kerajaan dan para peniaga berusaha untuk melaksanakan kempen penurunan harga barang. Tatkala harga minyak petrol dinaikkan, harga barang turut dinaikkan atas faktor peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan. Jadi, mengapa pula ketika harga petrol sudah jatuh, harga barang masih kekal di paras yang sama.?


Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS

PAS : Turunkan harga barang kawalan dulu

Kegagalan kerajaan menguatkuasakan undang-undang sedia ada menyebabkan harga barang tidak turun seiring dengan harga baru minyak, kata PAS.

Ketua penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan dengan menurunkan harga barang kawalan seperti gula dan minyak masak terlebih dahulu.

Begitu juga dengan tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam yang turut berada bawah kawalan kerajaan, katanya lagi.

“Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula yang menjadi mangsa,” kata Mahfuz.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menggesa orang ramai memulau peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang seperti harga minyak.

Kenyataannya itu mengundang kritikan banyak pihak yang melihatnya sebagai perkauman.

Bermula 1 Februari, harga baru bahan bakar itu turun antara 11 hingga 21 sen ekoran kejatuhan berterusan harga minyak dunia.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz juga membangkitkan, sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat menurunkan harga barang bawah kawalannya.

“Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan? ” sindirnya.

PAS bagaimanapun senada dalam pelaksanaan kempen penurunan harga barang ekoran kejatuhan harga petrol dan diesel.